Lokasi operasi SAR yang masuk hari ke-20 di perairan Sabah. FOTO ihsan APMM
Lokasi operasi SAR yang masuk hari ke-20 di perairan Sabah. FOTO ihsan APMM
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah masih belum menemui sebarang petunjuk dalam usaha pencarian lima mangsa bot karam di Pulau Mengalum dekat sini, yang masuk hari ke-20, pagi ini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dikekalkan keluasan 300 batu nautika di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei.

"Untuk operasi hari ini, jarak keluasan masih kekal sama berbanding sebelumnya dengan membabitkan sebanyak sembilan aset daripada APMM, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan turut dibantu oleh pasukan keselamatan dari Brunei," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR itu tetap diteruskan sehingga mendapat arahan daripada pihak atasan.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 31 orang termasuk 28 pelancong warga China karam di perairan Pulau Mengalum, dekat sini.

Seramai 22 terselamat, empat maut dan lima masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 11:21 AM