Sarah Zulkifli


Kajang : Seorang jurutera kanan yang mempunyai minat pelik dengan menyimpan haiwan termasuk harimau belang dan buaya di rumahnya didenda RM550,000 dan dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki hidupan liar yang dilindungi itu.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Taha Abd Wahab, 51, selepas dia mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyimpan seekor harimau belang betina dan seekor kucing batu di kediamannya di No 7, Lot 1433, Batu 13 3/4 Jalan Sekolah, Kampung Gahal Jaya, Hulu Langat di sini pada jam 12.30 tengah hari, 19 Oktober tahun lalu.

Manakala pertuduhan ketiga hingga kesembilan pula, dia didakwa menyimpan seekor burung helang merah, seekor burung gagak gunung, dua ekor burung Murai Jambul Putih, seekor buaya jenis Schneider's Dwarf Caiman, seekor pelanduk, seekor burung Tiong Mas dan seekor burung Murai Batu di tempat dan masa yang sama.

Kesemua haiwan itu adalah hidupan liar dilindungi dibawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi pertuduhan menyimpan harimau belang, dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan menyimpan kucing batu pula, dia didakwa mengikut Seksyen 70(1) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi empat pertuduhan lain, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Tiga lagi pertuduhan, dikemukakan mengikut Seksyen 68(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 2:52 PM