PEGAWAI dan anggota Kementerian Dalam Negeri merampas barangan hiasan ayat al-Quran di premis di Nilai 3 selepas memdapati beberapa kesilapan tanda dan bacaan serta penulisannya. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Enam premis menjual barangan hiasan menggunakan ayat al-Quran di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini, diserbu Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Operasi Antara Negeri itu dijalankan pihak berkenaan bagi mengesan dan memeriksa kesalahan teks al-Quran pada barangan hiasan yang dijual kepada pelanggan.

Ketua Operasi Shamsinar Mohd Jaafar berkata, 60 pegawai dan anggota daripada Bahagian Penerbitan dan Kawalan Teks Al-Quran serta polis terbabit dalam operasi 8.30 pagi hingga 3 petang.

"Kita menjalankan pemeriksaan di enam premis dan mendapati banyak kesalahan tulisan dan huruf ayat al-Quran pada barangan hiasan dijual. Ada juga ayat al-Quran yang dibuat dalam bentuk pedang, pisau dan pasu yang jelas menyalahi undang-undang.

"Semua barangan itu dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 3:24 PM