Bot-bot pukat tunda yang ditahan APMM di perairan Pontian.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Johor Bahru menahan dua bot nelayan tempatan Kelas B kerana disyaki melakukan aktiviti menarik pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kedua-dua bot itu ditahan kira-kira jam 3 petang semalam kerana disyaki melanggar syarat lesen mengikut Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, bot berkenaan dikesan kapal peronda APMM yang menjalankan tugas rondaan di perairan Johor Barat di sekitar perairan Pontian dekat sini.

"Kita mengesan kedua-dua bot itu sedang melakukan aktiviti menarik pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan iaitu kurang daripada 5 batu nautika dari pantai.

"Ketika pemeriksaan dibuat, peralatan menangkap ikan masih berada dalam air dan terdapat hasil tangkapan kira-kira 200 kilogram," katanya.

Menurut Iskandar, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu masing-masing mempunyai seorang tekong dan dua awak-awak, sebelum keseluruhan kru yang ditahan iaitu seramai enam rakyat tempatan berusia antara 23 hingga 51 tahun.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat APMM Daerah Maritim Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 4:26 PM