PERSEMBAHAN Raihan ketika perasmian Hotel Al Meroz.
RAIHAN bersama Rausak dan isterinya (tiga dari kanan) serta pengurusan Hotel Al Meroz.
Ridzuan Abdul Rahman


Penjualan album pertama Puji-Pujian melebihi 700,000 unit pada 1996 menjadi pencapaian terbaik kumpulan Raihan yang kekal bertahan dan tidak mampu dicabar oleh mana-mana penyanyi sehingga kini.

Justeru, bukan sesuatu yang menghairankan apabila mereka berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan terus menjadi sebutan peminat luar.

Buktinya, Raihan yang kini dianggotai Che Amran Idris, 48, Abu Bakar Mohd Yatim, 47, dan Amran Ibrahim, 46, mengadakan persembahan pada majlis pelancaran Hotel Al Meroz, Bangkok yang berlangsung pada 13 Februari lalu.

Malah lebih daripada itu, Ketua Pegawai Eksekutif hotel ini, Rausak Mulsap, memilih mengabadikan nama Raihan pada bilik seminar hotel bercirikan Islam pertama di bandar raya Bangkok.

Selain persembahan, aktiviti Raihan di sana turut diisi dengan lawatan ke festival dan tempat menarik sekitar Bangkok antaranya Festival Bangkok Halal 2017, Asiatique Riverfront dan Masjid Bang Uthit.

Layanan yang diterima di setiap lokasi dikunjungi cukup mesra, sekali gus menggambarkan penghargaan peminat terhadap kumpulan nasyid yang pernah mencetuskan fenomena ini.

Bagi Raihan sendiri, kunjungan itu menjadi pembakar semangat buat mereka untuk berdakwah sambil menghiburkan peminat.

“Persembahan ini adalah pembuka diari kami di luar negara pada 2017. Kalau ikutkan ia sepatutnya berlangsung pada tahun lalu tapi ditangguhkan bagi menghormati kemangkatan Raja Thailand.

“Mac tahun lalu pun kami pernah datang ke sini sempena sambutan ulang tahun ke-99 sebuah sekolah Islam tertua.

“Kami pun ramai kenalan di sini dan tak kekok langsung walaupun berdepan masalah bahasa. Ada ramai yang sudi membantu,” kata Che Amran.

Menurutnya, mereka akan berkunjung lagi ke Bangkok, esok bagi menjayakan persembahan di Madrasah Masahatuddeen.

“Syukur kami diterima baik di sini. Mac nanti kami ke sini lagi untuk majlis sambutan Maulidur Rasul pula.

“Kami juga terharu apabila isteri pemilik Hotel Al Meroz beriya-iya menamakan bilik seminar dengan nama Raihan.

“Kami kenal mereka sejak Raihan masuk ke Thailand pada tahun 2000,” kata Che Am.

Sepertimana artis lain, Raihan mengakui ada kalanya sibuk dengan tawaran mengadakan persembahan dan ada ketikanya kurang undangan.

“Pada kami ini perkara biasa. Apapun aktiviti Raihan masih berjalan seperti biasa cuma kurang publisiti di media massa.

“Kadang-kadang aktiviti kami lebih membabitkan pusat pengajian tinggi, kemasyarakatan, sekolah, anak yatim dan banyak lagi.

“Di situ, peminat mungkin menganggap Raihan sudah menyepi sedangkan kami jarang berkongsi aktiviti yang dibuat. Kami buat persembahan di luar negara pun tak bercerita kepada peminat,” kata Che Amran lagi.

Raihan juga sering terbabit dengan program lawatan ke Aceh, Indonesia bersama peminat, tahun lalu dan bakal menganjurkan program sama tahun ini.

“Kami bergabung dengan Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Haslin Bollywood dalam sesi lawatan sambil belajar.

“Program ini diisi dengan persembahan dan lawatan ke tempat menarik. Ia akan dibuat sekali lagi April ini dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook Raihan Official,” katanya.

Perkembangan lain, Raihan yang menyambut ulang tahun ke-21 merancang menghasilkan single disusuli konsert istimewa buat peminat.

“Sebelum puasa kami mungkin akan keluarkan single. Perbincangan juga dibuat dengan beberapa pihak untuk mengadakan konsert.

“Dalam masa terdekat kami akan terbabit dengan program Reviving Islamic Spirit yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Mac nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

“Ia anjuran sebuah organisasi dari Kanada dan kali ini diadakan di Malaysia kerana mereka mahu mencuba pasaran Asia pula,” kata Che Amran.

Selain menyanyi, Raihan aktif berniaga menerusi syarikat MK Label milik pemain gitar terkenal Man Kidal.

“Kami mengeluarkan produk Bio Raihan yang menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Sekarang artis Malaysia turut aktif dalam bidang perniagaan.

“Selama ini mungkin orang ingat artis keluarkan album dan muncul di konsert sahaja. Sekarang, artis pun sudah boleh berniaga dengan mudah dan secara tak langsung, peminat pun boleh menjana ekonomi,” kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:27 AM