LAPORAN dalam akhbar Harian Metro semalam.
LAPORAN dalam akhbar Harian Metro semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Tindakan terhadap tujuh doktor di Pulau Pinang yang meluluskan borang permohonan pemeriksaan perubatan tanpa pemeriksaan akan diputuskan selepas prosiding mahkamah.

Ketua Pengarah Kesihatan yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, MMC akan mengikuti perkembangan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keputusan muktamad daripada mahkamah.

"Bergantung kepada keputusan prosiding itu, seperti yang ditetapkan dalam Akta Perubatan 1971, Jawatankuasa Siasatan MMC akan membuat keputusan sewajarnya nasib pengamal perubatan yang ingkar berkenaan.

"Tindakan yang boleh diambil termasuk teguran, penggantungan lesen amalan dan membatalkan pendaftaran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan dengan hanya mengenakan bayaran antara RM5 hingga RM30, pemandu teksi dan bas boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) mereka tanpa melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila SPRM Pulau Pinang menahan tujuh doktor dalam serbuan di tujuh klinik berasingan di sekitar Bukit Mertajam, Batu Feringghi, Pekan Lama, Gelugor dan Prai, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Pengarah SPRM Negeri Datuk Abdul Aziz Aban dipetik berkata, serbuan itu dilakukan secara serentak selepas pihaknya membuat risikan sejak Disember tahun lalu.

Selain tujuh doktor berusia antara 32 hingga 74 tahun, SPRM turut menahan seorang wanita berusia 41 tahun yang juga kerani sebuah daripada klinik terbabit serta dua lelaki yang bertindak sebagai 'runner'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 4:11 PM