Chong Wei beri komitmen. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak akan meninggalkan badan induk itu.

Jelas Mohamad Norza, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Chong Wei menerusi satu pertemuan dengannya malam tadi.

"Saya berjumpa dengannya malam tadi dan menerusi pertemuan itu, dia memberikan komitmen untuk tidak meninggalkan BAM.

"Apapun bagi saya isu membabitkan Chong Wei dan Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM) adalah serius.

"Kami akan mencari jalan mencari penyelesaian bagaimana untuk menyelesaikan masalah antara mereka berdua," katanya ketika ditemui hari ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Chong Wei menerusi laporan Arena Metro hari ini menegaskan sukar untuknya memperbaiki hubungan dengan Frost.

Hubungan tegang membabitkan kedua-dua pihak itu berpunca apabila aduan Chong Wei mengenai permukaan gelaggang yang licin di ABM tidak diendahkan Frost.

Akibat daripada itu, Chong Wei mengalami kecederaan ligamen lutut kiri dan belum pasti untuk beraksi di Seluruh England.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 6:00 PM