SEBAHAGIAN SSFC sambut baik perubahan pucuk pimpinan FAS.
SEBAHAGIAN SSFC sambut baik perubahan pucuk pimpinan FAS.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) menerima baik perkembangan terbaru Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Khamis depan apabila badan induk itu kemungkinan bakal diterajui Datuk Seri Subahan Kamal.

Naib Presiden SSFC Norazman Abbas berkata, nama Naib Presiden FAS itu baginya bukan asing dengan penyokong setia Red Giants menganggap Subahan individu cukup mengambil berat kebajikan pemain.

“Subahan sudah lama membabitkan diri dalam FAS, malah banyak juga jasanya kepada pasukan terutama mengenai kebajikan pemain.

“Sebagai penyokong yang sentiasa ada di belakang pemain, kami tahu apa Subahan pernah lakukan kepada pasukan dan jika benar beliau presiden baru, pemilihannya bagi kami amat tepat.

“Kami tetap akan menyokong walau siapa peneraju baru badan induk bola sepak Selangor itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Dalam laporan akhbar ini semalam, Subahan dijangka menang tanpa bertanding EGM itu selepas muncul calon tunggal untuk jawatan nombor satu berkenaan.

Menurut Norazman, jika benar Subahan Presiden FAS, beliau menyarankan lebih banyak program kerjasama dengan kelab-kelab luar dapat dijalankan bagi meningkatkan mutu permainan terutama pemain muda di peringkat akar umbi.

“Kami seluruh penyokong bola sepak Merah Kuning ingin melihat pembaharuan. Saya percaya seandainya di peringkat akar umbi diberi penekanan lebih.

“Mungkin kita boleh melahirkan lebih ramai pemain terbaik dari anak Selangor seperti mana Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Safiq Rahim dan ramai lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 10:31 AM
Digital NSTP Subscribe