Skip this ad x
PAKAIAN tradisional wanita Melayu juga digemari masyarakat Cina.
SYUS bersama duta RKB, Fasha Sandha dan model yang menggayakan kebaya Syus Couture.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kebaya selalunya mencetuskan gambaran busana klasik dengan potongan sendat mengikut badan. Jika dulu kebaya renda bersulam menjadi tumpuan, hari ini fesyen sama masih segar di pentas peragaan.

Jelas perubahan zaman tidak sedikit pun melunturkan populariti kebaya, malah busana itu kian rancak melalui fasa perubahan, tidak kira dari segi fabrik, hiasan, potongan, corak mahupun cetusan warna kreatif.

Jika dulu kebaya popular daripada jenis renda, batik dan songket, kini busana itu turut digayakan dengan pilihan fabrik satin, songket dan kapas berkualiti tinggi. Potongan kebaya juga diberi sentuhan moden, namun masih mengekalkan ciri belahan di depan.

Menyedari potensi kebaya di pentas peragaan fesyen dunia, pengasas Syus Couture, Nursyuhada Md Isa memilih busana tradisional berkenaan untuk diangkat sebagai elemen utama Rumah Kebaya Bangsar (RKB).

Bermula dengan koleksi kurung tiga tahun lalu, pemilik butik eksklusif ini terus mencipta fenomena dengan koleksi kebaya Riau, mini, Kutu Baru, moden, Nyonya dan koleksi inspirasi untuk gaya kasual.

“Pada awal pembabitan dalam dunia fesyen, fokus saya terarah kepada baju kurung. Sehinggalah pada suatu hari, saya menaiki penerbangan dan terpaku melihat pakaian seragam pramugari yang cantik berkebaya sendat.

“Ketika itu otak ligat berfikir, alangkah bagusnya kalau saya juga boleh mereka kebaya yang selesa, longgar, tetapi mempunyai potongan khusus yang boleh membawa kesan kurus dan langsing kepada si pemakai bertubuh besar.

“Dari situ, saya mula membuat kajian mengenai jenis kebaya, potongan dan material paling sesuai untuk busana berkenaan. Hasilnya, saya bertemu dengan kebaya Riau,” katanya.

Menurut Nursyuhada atau mesra dengan nama Syus, dia begitu teruja meneroka alam kebaya demi menukar persepsi umum yang kerap menganggap busana itu hanya untuk golongan bertubuh cantik serta mempunyai potongan sendat.

“Bagi koleksi Zara Kebaya Riau umpamanya, kami bawakan busana labuh dengan potongan khas untuk saiz XS sehingga 4XL. Koleksi ini menggunakan fabrik kapas asli dari Pakistan yang cukup selesa dan sejuk, sesuai dengan cuaca panas dan hujan di Malaysia.

“Potongan dada ke lengan yang longgar dengan perincian lebih luas bersama pesak di bahagian sisi tubuh hingga ke bawah memberi ilusi kurus kepada si pemakai bertubuh besar. Ia juga menonjolkan bentuk tubuh sempurna bagi mereka yang berbadan kurus.

“Kainnya pula dijahit lipat batik menjadikannya busana sopan dipakai tidak kira wanita bersanggul atau bertudung,” katanya.

INSPIRASI KEBAYA

Selain kebaya Riau, RKB juga meriah dengan koleksi kasual Syus Couture. Berbanding kebaya sendat, koleksi Inspirasi menawarkan kebaya pendek potongan kembang ala hanbok (pakaian tradisional Korea).

Bezanya, kebaya kasual ini mempunyai belahan di depan dan sesuai digayakan dengan jean, pario batik, palazo mahupun skirt kembang paras lutut atau labuh. Namun bagi yang sukakan kebaya sulam tradisional dengan kerawang di dada dan lengan, koleksi kasual juga menyediakan pilihan serta warna yang pelbagai.

Melengkapkan fungsi RKB sebagai hab kebaya, Syus juga menyediakan pilihan padanan bersesuaian dan eksklusif. Antaranya palazo dan skirt kembang batik yang dibawa khas dari Indonesia.

“Padanan ini memang kami cadangkan kepada pelanggan yang mahu tampil moden dengan gaya klasik mewah. Paling menarik, seluar dan skirt yang ditawarkan bermotif batik tulis dan menggunakan warna alami (semula jadi).

“Bagi peminat songket, kami juga sediakan songket tenunan Terengganu berkualiti untuk dipadankan dengan busana Syus Couture. Koleksi ini bagaimanapun hanya boleh didapati di RKB,” katanya.

KEBAYA KLASIK

Sekalipun memberi fokus kepada jualan kebaya Riau dan gaya kasual, Syus tidak melupakan koleksi kebaya tradisional yang menjadi tumpuan golongan wanita bergaya serta mementingkan penampilan sempurna.

“Saya mahu mengekalkan warisan kebaya Nusantara di RKB. Kalau kebaya Indonesia terkenal dengan perincian sarat dengan manik dan kerawang, kita juga ada kebaya tradisional Melayu yang sederhana tetapi indah ditubuh si pemakai.

“Kami juga ada kebaya Nyonya bersulam tangan dan kebaya Kutu Baru yang menonjolkan sulaman tradisional negara China. Kedua-dua jenis kebaya ini bukan saja menjadi tumpuan wanita Melayu, tetapi turut menjadi rebutan wanita Cina.

“Mereka ini kreatif memadankan kebaya dengan skirt pendek dan seluar kembang paras betis,” katanya.

KOLEKSI RAYA EKSKLUSIF

Di tengah kesibukan ramai menempah baju raya, Syus Couture menerusi RKB juga mula melancarkan prapesanan raya untuk koleksi Anggun. Kebaya moden leher cekak musang itu menggunakan fabrik renda Prada dengan potongan ekor ikan.

“Buat masa ini kami ada dua warna iaitu merah hati dan biru tua. Memandangkan fabrik koleksi ini daripada renda, jadi kami sediakan pakaian dalam (inner) dan pilihan pario dull satin berkualiti. Tempahan boleh dibuat menerusi www.syuscouture.com,” katanya.

Mengenai RKB, Syus berkata, Bangsar dipilih sebagai lokasi eksklusif untuk memberi mesej kepada masyarakat dan penggemar fesyen bahawa kebaya masih relevan, sebaris jenama fesyen terkemuka lain di lokasi elit berkenaan.

“Walaupun berada di lokasi butik mewah, RKB masih menawarkan harga mampu milik serendah RM199 sepasang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 11:48 AM