FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: T-Team terlepas peluang untuk mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 2-2 dengan PKNS FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, malam tadi.

Skuad Titans memperolehi gol pertama perlawanan menerusi rembatan kencang Farhod Tadjiev pada minit ke-9 hasil hantaran penyerang dari Mali, Mamadou Samassa yang gagal ditampan kemas penjaga gol PKNS, Muhammad Zamir Selamat.

Lima minit berselang PKNS berpeluang menyamakan kedudukan hasil kesilapan penjaga gol Muhammad Izzuddin Hussin yang gagal menangkap kemas bola lambung pemain pelawat, bagaimanapun barisan penyerang pelawat gagal menghidu peluang.

Pada mnit ke-32, skuad bimbingan Rahmad Darmawan berpeluang menambah jaringan menerusi rembatan kencang Farhod tetapiMuhammad Zamir sudah bersedia untuk menafikan percubaan itu.

Dua minit kemudian pelawat sekali lagi berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi Bobby Gonzales tetapi tolakan pemain itu terkena palang gol.

Pemain itu sekali lagi memperolehi peluang terbaik untuk meledak jaringan pada minit ke-39 tetapi Mohd Izzuddin berjaya menghalang percubaan pemain pelawat.

Skuad Titans memperolehi gol kedua, sekali lagi menerusi rembatan Farhod selepas memperolehi hantaran dari Mohd Nor Hakim Hassan untuk mendahului 2-0.

Skuad PKNS berjaya merapatkan kedudukan menerusi rembatan cantik pemain gantian Mohd Khairul Ramadhan M Zauwawi pada minit ke-78 untuk menjadikan kedudukan kekal 2-1.

Ketika masa sebenar permainan berbaki seminit untuk ditamatkan pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi lontaran Hadwa yang terkena kaki Samassa sebelum menerjah jaring.

Perlawanan kekal dengan keputusan 2-2 hingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 11:43 PM