MENYEKAT lawan dengan gerakan tersendiri.
PENONTON teruja menyaksikan MYPW.
.TIDAK kurang hebatnya persembahan ahli gusti wanita.
MENJATUHKAN lawan.
Nurul Husna Mahmud


Kesan dramatik pertarungan selain ahli gusti tampil mengenakan kostum mewakili personaliti masing-masing dalam gelanggang membuatkan pengunjung Malaysia Pro Wrestling (MYPW) Reckoning langsung tidak berganjak.

Sketsa bermula sedari seorang ahli gusti ini keluar dari belakang pentas sehinggalah kedua-duanya berentap menggunakan ‘prop’ seperti kerusi nyata meninggalkan ingatan buat mereka hadir ke Pusat Komuniti Bukit Damansara tempat berlangsungnya acara itu.

Buat peminat sukan pertarungan ini, tidak dinafikan setiap pusingan perlawanan penuh dengan kejutan. Buat ahli gusti pula setiap adegan turut mempunyai elemen sketsa pentas mahupun kisah gelanggang terancang, namun aksi mahupun gerak dipertontonkan spontan.

Justeru, setiap kali berada dalam gelanggang ahli gusti perlu fokus dan belajar bahasa tubuh lawannya agar perlawanan berlangsung dramatik dan menarik.

Menurut ahli gusti berusia 16 tahun, Muhammad Emman Noorazman, dia meminati sukan itu sejak kecil lagi.

Katanya, melihat aksi lasak itu selalu dipertontonkan di kaca televisyen menggamit perhatian dan minat mendalam untuk menceburi sukan terbabit.

“Saya sudah lama meminati gusti. Sejak kecil saya akan menonton rancangan itu di kaca televisyen. Melihat karakter baik seperti Cena atau The Rock dan tidak kurang juga personaliti hitam seperti Undertaker dan Kane membuat saya mengamati gerak ‘killer’ mereka.

“Sebaik mengetahui kewujudan akademi gusti bimbingan Ayez Shaukat Forseka, saya belajar dan 2014, saya sudah beraksi di gelanggang. Banyak saya pelajari mengenai sukan ini, antaranya teknik jatuh serta membaca pergerakan lawan serta membantu saya yakin ketika dalam gelanggang,” katanya.

Tambah Emman lagi, reaksi penonton setiap kali bersorak dan melaungkan namanya dalam setiap perlawanan membuatkan dia teruja dengan sukan berkenaan.

“Pengalaman pertama kali tentu saja gementar, maklumlah kita menjadi tontonan orang ramai. Ada juga bimbang prestasi serta aksi saya tampilkan hambar.

“Tetapi perasaan itu hilang apabila dengar penonton bersorak memberi sokongan apabila saya bergusti. Saya berharap boleh pergi jauh dan beraksi dengan nama besar sukan ini suatu hari nanti,” katanya.

Pengasas MYPW Ayez Shaukat Forseka, melihat sukan ini mempunyai pengikut sendiri. Buktinya jumlah penonton acara itu kian meningkat saban tahun dan begitu juga bakat ahli gusti tempatan.

“Ini sudah masuk 14 perlawanan dan kita bermula tiga tahun lalu. Permulaan penonton kita dapat lingkungan 100 orang saja dan kini lebih 500 yang datang menyaksikan.

“Jadi semestinya kita berharap angka itu akan bertambah dan peminat sukan gusti akan menyokong ahli gusti tempatan berbakat.

“Potensi ahli gusti tempatan pada prestasi membanggakan. Berdasarkan pengalaman sendiri kerana ada kala saya terima jemputan dari negara serantau seperti Thailand, Filipina, Singapura mahupun Indonesia juga berminat dengan ‘trick’ atau penyampaian saya.

“Mereka mengenali karakter dan sentiasa mengikuti perkembangan saya. Jadi saya positif dengan peluang potensi masa akan datang untuk ahli gusti berkembang, peringkat Asia atau pentas besar seperti WWE,” katanya.

Jagoan baru yang berasal dari Alor Setar, Kedah, Mohammad Affif Fahmi tidak menafikan cabang sukan gusti menagih pengorbanan tinggi.

“Saya akui tidak mudah untuk berada pada kedudukan ini terutama merebut gelaran juara dan tali pinggang dalam pertarungan kali ini.

“Saya perlu menjaga makan dan berlatih bagi memastikan dapat beraksi dengan baik pada hari perlawanan. Sebalik pengalaman serta perjalanan sukar banyak manfaat saya perolehi.

“Gaya hidup saya berubah kepada cara lebih sihat. Bayangkan selepas tiga empat bulan berlatih sebagai persiapan menjelang hari perlawanan, berat badan saya hilang kira-kira 14 kilogram. Kini saya lebih bertanggungjawab dengan kesihatan tubuh sendiri,” katanya yang turut menyimpan harapan untuk beraksi di pentas antarabangsa.

Sementara itu, pengurus produksi Shauqi Jamil yang turut membawa karakter The Dante Shauqi dalam MYPW berkata, segala perancangan serta babak aksi disusun untuk perlawanan kali ini berjalan lancar.

“Apabila setiap perlawanan atau episod pertarungan dirangka, kami lakukan teliti agar babak itu nampak neutral dan ‘hidup’.

“Kami letakkan kepuasan penonton sebagai keutamaan. Kami cuba tampilkan konsep serta tema berbeza dalam setiap perlawanan. Ahli gusti kami tampilkan mempunyai karakter masing-masing serta gerak rutin ‘signature’ dalam pentas MYPW.

“Kami membuat persiapan kira-kira sebulan secara intensif memastikan adegan perlawanan mantap. Sebenarnya untuk membina ‘chemistry’ dengan lawan sangat penting dan kami perlu sentiasa berbincang agar perlawanan berlangsung dengan jaya,” katanya.

Dia berharap peminat gusti tempatan terus memberi sokongan, selain membuka pandangan umum mengenai sukan gusti ini bukan eksklusif apabila orang biasa boleh menyertai aktiviti ini asalkan mendapat latihan mahupun pendedahan mengenai teknik betul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:01 AM