POLIS memeriksa bungkusan yang mnengandungi jutaan pil methamphetamine yang dirampas di wilayah Lampang kelmarin.- Bangkokpost

Bangkok: Polis Thailand kelmarin merampas lebih tujuh juta pil methamphetamine dan 20 kilogram dadah berkenaan selepas mengejar tiga kenderaan milik penyeludup.

Polis berkata, tiga lori pikap tidak berhenti dan terus memecut di satu sekatan jalan raya di utara wilayah Lampang yang berhampiran sempadan Myanmar dan Laos.

“Polis yang mengejar lori pikap itu menembak tayar sebuah kenderaan berkenaan dan menahan seorang suspek.

“Dalam kenderaan itu kami menemui 3.4 juta pil methamphetamine dan 20 kilogram dadah yang belum dijadikan pil,” kata jurucakap polis, Chairoj Uangpayung.

Ujarnya, pemandu dua kenderaan pikap lain berjaya melarikan diri selepas membuang 20 guni yang mengandungi pil methamphetamine di tepi jalan.

“Polis belum mengira jumlah pil di dalam guni itu tetapi jumlah keseluruhan dianggarkan lebih 7 juta pil,” jelasnya.

Pihak berkuasa mengangarkan keseluruhan dadah berkenaan bernilai sekitar AS$32 juta (RM143 juta).

Ujarnya, rampasan itu adalah yang terbesar di wilayah berkenaan dalam tempoh 20 tahun.

Thailand adalah pasaran dadah utama yang juga laluan transit untuk methamphetamine yang dihasilkan di kawasan Segi Tiga Emas yang meliputi kawasan sempadan Laos dan Myanmar.

Rantau itu antara pengeluar methamphetamine heroin, opium dan ganja utama dunia untuk pasaran Asia dan beberapa negara lain.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 8:58 AM