Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Impian tiga beradik untuk bersekolah menjadi kenyataan selepas didaftarkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, Pasir Gudang, hari ini.

Bapa mereka, Mohammad Izham Kassim, 50, berkata sebelum ini tiga anaknya itu iaitu Muhammad Firdaus, 12; Intan Auliya, 10; dan Muhammad Farish, 7, tidak dapat bersekolah kerana ketiadaan dokumen kelahiran.

Menurutnya, ia berikutan pernikahannya dikatakan tidak sah setahun selepas kelahiran anak sulung kerana dinikahkan oleh sindiket pernikahan, mengakibatkan hanya anak sulungnya memiliki sijil lahir serta berpeluang bersekolah.

Katanya, beberapa bulan selepas bernikah di Pejabat Agama Johor Bahru pada 30 Mac 2012, isterinya pula menghilangkan diri.

Bagaimanapun, ketiga-tiga anaknya memperoleh sijil lahir pada 12 Februari lalu.

"Alhamdullilah akhirnya dengan bantuan pelbagai pihak, kami dapat mengesan isteri dan mendapatkan kerjasamanya berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada akhir tahun lalu.

"Kini anak kedua, ketiga dan keempat juga mula bersekolah dan saya amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan ramai," katanya.

Pelbagai pihak hadir dan memberi sokongan moral pada hari pertama persekolahan ketiga-tiga beradik itu selain menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan.

Ia termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim; Pengurus Eksekutif Yayasan Pasir Gudang, Sharul Akmal Johari dan Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim.

Hadir sama, Guru Besar SK Taman Cendana, Hasmah Ismail dan Ahli Majlis MPPG, Omar Saleh.

Pada 19 November 2016, Harian Metro mendedahkan permasalahan tiga beradik berkenaan yang gagal didaftar di sekolah berikutan tidak memiliki sijil lahir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 11:44 AM
Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana dan pemimpin masyarakat setempat menyaksikan gelagatMuhammad Firdaus Mohammad Izham, 12, Intan Auliya,10, dan Muhammad Farish, 7. FOTO Mary Victoria Dass
Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana dan pemimpin masyarakat setempat menyaksikan gelagatMuhammad Firdaus Mohammad Izham, 12, Intan Auliya,10, dan Muhammad Farish, 7. FOTO Mary Victoria Dass