Mesej yang tular di Whatsaap mendakwa berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan seorang maut.
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Polis menafikan berlaku pergaduhan berkumpulan membabitkan penduduk dua kampung sehingga menyebabkan seorang maut di Kampung Gajah, di sini, semalam, yang tular di WhatsApp.

Mesej yang tular itu mendakwa berlaku pergaduhan antara sekumpulan individu dari Kampung Gajah dan Changkat Melintang hingga menyebabkan seorang meninggal dunia.

Mesej itu turut mendakwa polis membuat sekatan jalan raya di beberapa lokasi di sekitar daerah Perak Tengah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Aziz Hasan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu dan tidak berlaku seperti yang didakwa.

"Polis tidak menerima sebarang laporan malah anggota juga tidak menjalankan sekatan jalan raya seperti yang didakwa.

"Namun, semalam kita menerima maklumat berkaitan kes mati mengejut membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun di sebuah stesen minyak di Kampung Gajah," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Hutan Melintang itu masuk ke tandas stesen minyak sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia dipercayai akibat masalah jantung.

Katanya, pihaknya tidak menolak berkemungkinan kejadian itu diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat yang tidak benar.

"Penyebaran maklumat palsu seumpama ini menimbulkan ketakutan kepada orang awam dan kita berharap orang ramai tidak cepat mempercayai sesuatu maklumat yang tersebar tanpa mendapat kesahihan sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 1:45 PM