Reuters

Nam Dinh, Vietnam: Seorang lelaki Vietnam percaya kakaknya adalah wanita pemegang pasport Vietnam yang ditahan polis Malaysia berhubung siasatan pembunuhan Kim Jong-nam

Lelaki itu, Joseph Doan, mengesahkan nama kakaknya ialah Doan Thi Huong, dilahirkan pada 1988 di wilayah Nam Dinh, selatan Hanoi, sama seperti dinyatakan polis Malaysia mengenai wanita Vietnam yang ditahan.

“Kami hanya mengetahui perkara ini melalui internet namun berdasarkan gambar, wanita itu seperti kakak saya walaupun saya tidak boleh memastikannya 100 peratus kerana belum bertemunya,” katanya di sini.

Menurut penanam padi itu, wanita dalam gambar CCTV berbaju tulisan LOL itu kelihatan seperti kakaknya dan dia sudah dihubungi pihak berkuasa negaranya.

Doan berkata, kakaknya meninggalkan rumah ketika berusia 18 tahun dan pulang sesekali tanpa menyatakan bila akan pulang lagi.

“Bila dia balik, saya sering ingatkan dia supaya rajin belajar dan berkerja,” katanya.

Wanita Vietnam itu dan seorang wanita Indonesia ‘menyerang’ Jong-nam dengan menekup muka Jon-Nam dengan kain mengandungi racun yang membawa kematian abang tiri pemimpin Korea Utara di Klia 2, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 6:09 PM