Seelan (dari kiri) Airin, Sherina, Izham dan Nini umpama saintis yang mengemudi idea bahan penyiaran untuk kaca TV.
Oleh Ramlah Zainal


Bertemakan 'Mad Scientist', program tahunan terbesar anjuran Media Prima Berhad (MPB), Media Prima Screening 2015 yang berlangsung di WakaLab, Balai Berita, Bangsar selama empat hari bermula Isnin (13 Oktober) lalu dan berakhir hari ini ternyata berjaya mencapai visi dan misi penganjurannya seperti direncanakan.

Program yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar turut membabitkan sebanyak lapan sesi dengan setiap sesi mengambil masa kira-kira 45 minit.

Selaras dengan strategi komunikasi pemasaran bersepadunya, Ahmad Izham berkata, rangkaian Televisyen Media Prima akan menyiarkan beberapa program TV baru yang lebih menarik di empat saluran televisyennya-TV3, ntv7, 8TV dan TV9 sekali gus mempertahankan kedudukan sebagai syarikat nombor satu dalam sektor penyiaran di Malaysia.

"Pelbagai formula baru dicipta berdasarkan tema 'Saintis Gila' untuk menarik perhatian pengiklan dan semua rahsia itu didedahkan ketika sesi khas bersama mereka sepanjang tempoh empat hari berkenaan.

"Apa yang memberangsangkan, lebih 100 rancangan baru tempatan dan antarabangsa membabitkan drama bersiri tempatan, filem blokbuster, program realiti, bual bicara, program masakan dan dokumentari akan disiarkan di semua empat saluran pada tahun depan.

"Beberapa program yang disiarkan pada tahun ini akan kembali dalam musim baru pada 2015 kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

"Stesen TV3 akan terus menghiburkan orang ramai dengan drama bersiri, program realiti dan rancangan berunsur majalah yang turut menguasai segmen 'primetime' dan 'fringe time'. Pada masa sama, stesen TV3 turut memperoleh jumlah penonton sebanyak 24 peratus selaku stesen percuma negara menerusi platform televisyen berbayar," kata­nya.

Menyentuh kandungan siaran Media Prima pula, kata Ahmad Izham, ia juga memenuhi kehendak dan minat dalam pelbagai kumpulan demografi.

"Selepas menjalankan penyelidikan dan percubaan yang teliti, kami juga mencipta kandungan yang sesuai untuk memenuhi keperluan penonton. Ini adalah untuk memastikan jangkaan mereka sentiasa dipenuhi dan pengiklan dapat memaksimumkan keupayaan untuk menjangkau orang ramai dengan rangkaian media lain.

"Kumpulan Media Prima juga mengetuai semua rangkaian televisyen di Malaysia untuk menjangkau lebih daripada 24 juta penonton di rangkaian televisyen terestrial dan juga satelit.

"Pelbagai jenama dipaparkan di media sosial dan platform video 'online' yang dimiliki oleh Media Prima. Mereka boleh memanfaat­kan portal video nombor satu Malaysia iaitu 'Tonton' yang mempunyai lebih 8 juta paparan setiap bulan.

"Pengiklan juga mempunyai peluang yang baik untuk menjalin hubungan yang rapat dengan penonton menerusi pelbagai acara dan juga pertunjukan langsung yang dianjurkan oleh Media Prima," katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi (COO), Rangkaian TV Media Prima Berhad, Seelan Paul; Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nini Yusof; Pengurus Besar Kumpulan, TV3 dan TV9, Sherina Nordin serta Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul.

Program baru lebih berkualiti

Pelbagai program baru yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan pada tahun depan membabitkan empat saluran utama dalam rangkaian televisyen Media Prima.

Menurut Sherina, antara drama dan program realiti baru yang bakal ditayangkan di stesen TV3 ialah Lari Mira, Keluarga Pontimau dan Travelling Beruang.

"Selain itu ialah beberapa anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu Ke-29, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur dan Anugerah Skrin (ASK).

"Stesen TV9 pula akan menayangkan drama baru dan program realiti seperti Generasi Baru, Awek Chuck Taylor, Launch Pad, Jangan Gelak dan Lari . Sejak lapan tahun lalu, penonton stesen ini disajikan pelbagai program pilihan membabitkan program realiti, hiburan, drama dan program unsur keagamaan," katanya.

Sherina berkata, drama bersiri yang disiarkan di stesen TV3 dan TV9 terus kekal mendapat 'rating' tertinggi pada tahun ini.

"Ia membabitkan slot Akasia, Maaf Jika Aku Tak Sempurna yang mencecah 'rating' 2.5 juta penonton, Rindu Awak 200% (4.4 juta penonton) dan slot Lestary, Selamat Pengantin Madu (lebih dua juta penonton). Selain itu, slot Skrin Di 9 seperti Bini Aku Hantu Langsuir (rating 1.6 juta), Pontianak Teng Teng (lebih sejuta) dan Homestay Berhantu (lebih 1.5 juta)," katanya.

Sementara itu, saluran ntv7, pula akan menayangkan pelbagai drama, rancangan memasak dan program realiti kepada penonton berbahasa Cina dan Inggeris dalam usia lingkungan 25 hingga 45 tahun.

Antara program baru yang akan disiarkan ialah Ejector Seat, I Am Not The Queen, The Precedents, drama TVB Triumph In The Skies II dan Bet On Your Baby. Rancangan lain yang muncul dalam musim baru adalah Once Upon a Time Season 4, Sleepy Hollow Season 2, Witches of East End Season 2 dan The Blacklist Season 2.

Tidak ketinggalan, stesen urban 8TV yang memaparkan beberapa drama aksi dan program realiti untuk penonton Cina seperti Flying Swords of Dragon Gate, Romance of the Condor Heroes, Female Assassins In Palace, The Ultimate Actor and Fantasia, Hip-Hoppin Asia, Welcome To The Rail World dan Best In The World-Halal Lah pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:28 AM