AKSI peserta debat yang mengambil bahagian ketika mengutarakan hujah.
PEMENANG dalam kategori yang dipertandingkan mengabadikan kenngan bersama di atas pentas.
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Pasukan pendebat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul johan dalam Pertandingan Terbuka ASTAR yang berlangsung di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Pasukan UITM menewaskan pasukan tuan rumah, UM dalam kategori utama, sekali gus mencipta sejarah tersendiri selepas 20 kali penganjurannya.

Salah seorang pendebat UiTM, Dinie Zhafri Zainuddin berkata, ini kali pertama UiTM menjulang piala ASTAR selepas berusaha sekian lama.

“Kemenangan ini bagai membayar penat lelah kami berlatih selain diharap mampu membanggakan UiTM.

“Selepas mencuba sekian lama, barulah hari ini kami berjaya menjulang kemenangan biarpun pada masa sama memperoleh tentangan sengit daripada pihak lawan,” katanya.

Pada pertandingan itu, UiTM sebagai pencadang mengutarakan tajuk debat, Dewan ini percaya untuk mencapai TN50, kekuatan ekonomi adalah kuncinya.

Sementara itu, Pendebat UiTM, Mohd Syafiq Jebat turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik.

Majlis dirasmikan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.

Sementara itu, pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul juara kategori muda dengan dengan menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pertandingan tiga hari itu membawa tema Budaya Perdebatan Pemangkin Kecemerlangan dan memberi fokus kepada perdebatan berkaitan isu semasa dalam serta luar negara.

Pertandingan yang dianjurkan Jawatankuasa Akademik dan Intelektual Kolej Kediaman Pertama UM dengan kerjasama bersepadu Majlis Orator Universiti Malaya (MORUM) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM itu membabitkan 48 pasukan dari 26 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan asasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 11:01 AM