Anggota bomba menjalankan pemeriksaan di kediaman yang musnah dalam kebakaran. FOTO Rosliza Mohamed
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Seorang remaja melecur di belakang badan ketika cuba mengambil dokumen penting di bilik tidur yang terbakar dalam kejadian di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini, 11 pagi tadi.

Akibat kejadian, Mohd Adam Iman Mohd Zafran, 18, dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Kebakaran turut menyebabkan tiga rumah musnah.

Ibu Mohd Adam, Nurmalini Musa, 39, berkata, ketika itu anak sulungnya cuba menyelamatkan dokumen penting di tingkat atas rumah.

"Dalam sekelip mata, api merebak dan belakang badannya melecur sedikit ketika keluar dari rumah.

"Mohd Adam dihantar ke hospital dengan ambulans dan keadaannya stabil," katanya ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Dalam pada itu, enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Darulnaim dan Pengkalan Chepa dikerah ke lokasi kejadian.

Komander Operasi BBP Kota Bharu Mohd Ridzuan Baharuddin berkata, tiga rumah sudah 70 peratus terbakar dan usaha memadam kebakaran segera dilakukan.

"Ketika ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 3:05 PM