Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 48 tahun dan 50 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang pemandu jentera berat dijatuhi hukuman penjara selama 48 tahun dan 50 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap lima pertuduhan merogol dua anak saudara perempuannya, dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol anak saudara berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, antara jam 7 hingga 8 pagi, pada Ogos 2015 dan 7 hingga 8 pagi, November 2015.

Pertuduhan ketiga hingga kelima, dia didakwa merogol seorang lagi anak saudaranya berusia 15 tahun di tempat sama, antara jam 7 hingga 8 pagi pada Ogos, September dan Oktober 2015.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan hingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 tahun.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Nazri menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan 20 sebatan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, keempat dan kelima, lelaki itu perlu menjalani hukuman penjara masing-masing 12 tahun dengan 10 sebatan dan hukuman berjalan berturut-turut bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Disember 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 6:38 PM