ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati di kaki lima rumah pangsa di Taman Batu Berendam, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah malam tadi, mayat lelaki yang hanya berkain pelikat itu ditemui penduduk tingkat bawah dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kecederaan parah di anggota badan.

Difahamkan, lelaki itu dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan rumah pangsa lima tingkat itu menerusi tingkap rumah yang mempunyai tiga bilik.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui sama ada mangsa terjatuh atau 'dijatuhkan' dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 4:39 PM