BOT nelayan yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Kedah: Bot nelayan tempatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Maritim Kuala Kedah kerana dipercayai memukat ikan kurang daripada lapan batu nautika dari pantai, semalam.

Bot dinaiki seorang tekong dan dua awak-awak warga Malaysia itu ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia 6.6 Batu Nautika barat Kuala Kedah pada 6.05 petang.

Pengarah Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, tekong dan awak-awak terbabit berusia 47 hingga 61 tahun.

Katanya, mereka dipercayai melakukan kesalahan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan memukat ikan kurang daripada lapan batu nautika dari pantai.

"Bot berkenaan yang ditahan bersama hasil tangkapan ikan anggaran seberat 300 kilogram dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau seterusnya menasihati pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang disyaratkan dalam lesen yang diberikan.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang melanggar undang undang ditetapkan.

"Saya juga berharap kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini," katanya.

Ahmad Kamal berkata, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah di talian 04-731 0579.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 11:15 AM