Abdul Aziz (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan daripada suspek. - Foto MOHAMAD AZIM FITRI ABD AZIZ
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Tiga ahli sindiket ‘Ah Long' atau ‘along’ ditahan selepas dipercayai melakukan ugutan terhadap beberapa mangsa di Jalan Haji Abdul Rahman di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, semua suspek lelaki berusia 26 hingga 30 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta model Nissan Latio pada 10.30 pagi ketika sedang menunggu peminjam dan bersedia melakukan kerja memasang kain rentang iklan pinjaman wang.

"Hasil siasatan terhadap suspek, polis kemudian ke rumah sewa mereka di Taman Saujana di sini, dan menemui 1,024 kain rentang mempromosikan iklan pinjaman, 14 salinan dokumen peminjam, dua pedang samurai, satu tukul dan pemotong dawai serta sepasang baju dan seluar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya masih ada baki ahli kumpulan berkenaan yang bebas dan polis sedang menggerakkan usaha mengesan mereka.

Katanya, semua mereka direman tiga hari hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 4:36 PM