Lisa Surihani bersama wakil UNICEFdi Malaysia, Marianne Clark Hattingh, keitka majlis pengumuman pelantikan Lisa sebagai Duta UNICEF. - Foto Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelakon Lisa Surihani akan menyokong pembelaan hak kanak-kanak di seluruh negara sejajar dengan pelantikannya sebagai duta baru Malaysia untuk Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) hari ini.

Pelantikan itu diumumkan wakil Unicef di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh, di sini.

Lisa memberitahu wartawan di majlis itu bahawa beliau sentiasa berminat dengan isu yang memberi kesan kepada kanak-kanak dan anak muda di Malaysia.

"Menjadi Duta Unicef memberikan peluang yang tepat untuk saya membabitkan diri secara peribadi," katanya.

Menurut Lisa, antara yang menarik minatnya ialah keperluan pendidikan seksual menerusi media sosial dan menggesa tindakan komprehensif daripada pihak berkaitan menangani isu ini.

“Dahulu, ibu bapa selalu memberitahu kita supaya tidak bercakap dengan orang tidak dikenali dan cabaran kini ialah kewujudan gajet serta platform media sosial," katanya.

Clark-Hattingh berkata, Lisa akan terbabit dalam mempromosi dan meletakkan ke hadapan hak kanak-kanak di Malaysia dan sejagat menerusi pelbagai inisiatif dan kempen Unicef.

"Sokongan beliau meliputi usaha ke arah menghapuskan keganasan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak, integrasi kanak-kanak kurang upaya, penggunaan internet yang lebih selamat dan pendidikan awal kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 11:37 PM