SABRI (kanan) membuat persembahan pada sidang media Persembahan Wayang Kulit dan Dikir Barat.

Melaka: Panggung Bangsawan Melaka, Jalan Munshi Abdullah, di sini, menjadi lokasi pertama persembahan Wayang Kulit dan Dikir Barat Muzikal pada program yang berlangsung 10 dan 11 Mac depan.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, persembahan julung kali diadakan itu berdasarkan idea pelakon, pelawak dan tukang karut, Sabri Yunus yang juga ketua kumpulan dikir barat.

“Sebelum ini, kami memang rancang membuat persembahan wayang kulit dan dikir barat muzikal berkisarkan perjuangan Tok Janggut di Kuala Lumpur, namun selepas perbincangan, Melaka dipilih sebagai negeri pertama.

“Penceritaan pula berkisarkan kepada sejarah pahlawan Melaka. Apa dipersembahkan kumpulan dikir barat itu nanti sesuatu yang baru,” katanya pada sidang media Persembahan Wayang Kulit dan Dikir Barat di Panggung Bangsawan Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Ab Rahman Ismail yang juga penganjur program, artis wayang kulit Eyo Hock Seng@Pok Cu dan Sabri Yunus.

Sementara itu, Ab Rahman berkata, penampilan Tok Dalang, Eyo Hock Seng dianggap unik kerana beliau berketurunan Cina, namun meminati persembahan tradisional masyarakat Melayu itu.

Beliau berkata, persembahan itu dibuka kepada orang ramai selain dijangka dihadiri pemimpin utama negeri termasuk Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

“Panggung Bangsawan Melaka ini mampu memuatkan 410 penonton. Kami jangka semua tiket dapat dijual kepada orang ramai pada dua hari persembahan itu berlangsung,” katanya.

Tiket berharga RM30 (dewasa), RM20 (pelajar) dan RM15 bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun boleh dibeli di pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Ayer Keroh atau hubungi talian 03-2346617 untuk pertanyaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:06 AM