ANTARA babak menarik dalam filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.
HANIS pegang watak inspektor polis.
HANIS pegang watak inspektor polis.
Oleh Ramlah Zainal

Bukan saja mengangkat kerjaya kepolisan, filem genre aksi komedi, Romeo Kota (kes Fail : Kriptik) garapan sulung Aaron Aziz turut mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam.

Menampilkan gandingan serasi, Aaron dan pelawak Nabil Ahmad, filem terbitan Excellent Pictures yang turut menyelitkan elemen cinta ini juga adalah bahan hiburan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Secara peribadi, Aaron mengakui dia menerima tawaran mengarahkan naskhah itu kerana ingin menyahut cabaran di kerusi pengarah filem.

"Pada mulanya, saya hanya ditawarkan sebagai pelakon dan pengarah asal filem ini adalah Ahmad Idham.

Namun, beliau yang juga penerbit filem ini akhirnya memberi kepercayaan pada saya untuk mengarahkan Romeo Kota kerana ada urusan syarikat di Johor Bahru.

"Saya juga tidak mahu melepaskan peluang keemasan diberikan Ahmad Idham kerana bukan semua penerbit sanggup mengambil risiko mengambil pengarah baru seperti saya kerana kos pembikinan filem ini juga tinggi.

"Pada masa sama, saya juga sudah bersedia untuk menyahut cabaran buat filem ini bersandarkan pengalaman mengarahkan beberapa projek telemovie dan muzik video termasuk untuk kumpulan Sleeq, sebelum ini," katanya.

Aaron ditemui selepas pratonton filem Romeo Kota di pawagam [email protected], di sini, baru-baru ini.

Apapun, Aaron berharap Romeo Kota akan menjadi platform terbaik buatnya mengembangkan lagi bakat dalam bidang pengarahan pada masa depan.

"Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki, tetapi selepas filem pertama, saya bertambah yakin untuk mengarahkan filem kedua pula selepas ini. Inilah peluang untuk saya mendalami ilmu dalam dunia pengarahan pula," katanya.

Bagaimanapun, kata Aaron, bukan mudah untuk mengarah dan berlakon sekali gus, tetapi ia berjaya dilaksanakan dengan minat dan kerja keras.

"Saya turut berdepan dengan tekanan untuk mengimbangi preastasi lakonan dan pada masa sama, mengarah, tetapi tidak ingin mensia-siakan kepercayaan diberikan Ahmad Idham itu.

"Walaupun hanya tempoh sebulan diberikan, saya berjaya menyiapkan penggambaran filem ini seperti direncanakan. Saya juga yakin untuk mengarahkan filem ini kerana Ahmad Idham turut berada di lokasi membantu dari aspek teknikal serta memantau bagi memastikan kelancaran penggambaran filem ini," katanya.

Ahmad Idham serah soal kutipan pada peminat

Selaku penerbit, Ahmad Idham hanya menyerahkan kepada penilaian peminat mengenai soal kutipan filem Romeo Kota di pawagam nanti.

"Saya percaya dengan bakat dan pengalaman Aaron untuk mengarahkan Romeo Kota ini. Saya juga berpuas hati dengan komitmen yang diberikannya pada filem ini kerana hasil kerjanya lebih daripada yang dijangkakan," katanya.

Diminta komennya mengenai risiko menayangkan filem itu ketika isu banjir melanda di beberapa negeri di pantai timur, Ahmad Idham lebih suka melihatnya dari sudut positif.

"Sebenarnya, filem ini sudah lama siap dan kami juga hanya menunggu masa yang sesuai untuk menayangkan filem ini. Saya juga sangat berharap keadaan banjir semakin pulih apabila filem ini mula ditayangkan pada 8 Januari nanti.

"Soal kutipan pula, saya hanya menyerahkan perkara itu kepada rezeki kerana beberapa filem yang ditayangkan ketika ini seperti The Hobbit : The Battle Of The Five Armies masih mendapat kutipan yang bagus di pawagam.

"Justeru, saya sangat berharap, penggemar filem terus beri sokongan kepada filem tempatan. Sedih dan teruk macam mana sekalipun musibah banjir yang melanda negara, hidup perlu diteruskan," katanya.

Romeo Kota memaparkan kisah dua anggota polis yang menyamar untuk menyelesaikan satu kes jenayah di sebuah kolej.

Selain Aaron dan Nabil, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Hanis Zalikha, Fizo Omar, Sofi Jikan, Shenthy Feliziana, Sleeq dan Nina Juren. Filem Romeo Kota akan ditayangkan di 54 pawagam seluruh negara dan Brunei bermula 8 Januari depan.

TRIVIA

-Filem Romeo Kota arahan Aaron Aziz terpaksa ditangguhkan penggambarannya lebih empat jam apabila diserbu Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) di lokasi kerana isu pendaftaran pada April tahun lalu hingga aktor popular itu terpaksa memuat naik sekeping gambar resit pembayaran sebagai ahli FDAM yang sah kepada umum.

-Romeo Kota yang membabitkan penggambaran selama 27 hari di sekitar Kuala Lumpur turut mencecah bajet RM1.7 juta.

-Anak kedua Aaron, Dwi Ariana turut berlakon dalam filem ini menggantikan pelakon ekstra kanak-kanak yang tidak muncul di lokasi pada saat akhir.

-Aktres Nadiya Nisaa turut membuat penampilan khas dalam filem Romeo Kota dan memegang watak kekasih Aaron Aziz dalam filem ini.

-Drama bersiri popular lakonan Aaron iaitu Adam dan Hawa yang mendapat sambutan hangat di kaca TV bakal diangkat ke layar perak, namun ia masih dalam peringkat perbincangan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:01 AM