Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kerani wanita berdepan detik mencemaskan apabila menyambut sendiri kelahiran cahaya mata ketiga di tepi lif pejabatnya di Subang Jaya, Selangor pada 12.30 tengah malam tadi.

Nurul Munirah Hussin, 32, berkata, dia yang mengandung 37 minggu mula berasa tanda awal untuk bersalin, kira-kira 10 malam.

"Saya tidak sedap hati dan terus mengajak suami untuk ke Hospital Serdang kira-kira 12 tengah malam, namun sebelum itu saya meminta suami singgah di pejabat yang tidak jauh dari kediaman kami untuk mengambil buku rekod kehamilan yang tertinggal.

"Sebaik sahaja sampai di pejabat, saya mengambil buku rekod berkenaan tetapi terasa ingin membuang air kecil. Ketika di dalam tandas saya dapat merasa sebahagian kepala anak sudah keluar," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Nurul Munirah berkata, ketika menuju ke lif rasa sakit itu semakin kuat dan dia nekad untuk bersalin di tepi lif kerana bimbang bayi dalam kandungannya lemas.

"Pada waktu itu, saya nekad untuk baring dan mula meneran dengan hanya ditemani anak sulung yang berusia tujuh tahun.

"Sementara suami dan anak lelaki berusia empat tahun memanggil pengawal keselamatan dan menghubungi ambulans,"katanya.

Menurutnya, tidak sampai lima minit meneran dia selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.7 kilogram, dan membalut bayi berkenaan dengan tudung yang dipakainya bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Beliau berkata, ambulan tiba di pejabat kira-kira 15 minit kemudian dan dia bersama bayi dibawa ke Hospital Putrajaya (HPJ) untuk rawatan dan pemeriksaan.

"Alhamdulillah, semuanya sudah selamat walaupun anak saya terpaksa ditahan di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HPJ sehingga Jumaat ini untuk pemeriksaan lebih lanjut bagi memastikan tiada jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 8:03 PM