Mehmed memantau latihan pemain Liga Super Perak di Padang Pernama, Ipoh, petang tadi. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Mehmed Durakovic dilantik Ketua Jurulatih Perak yang baru menggantikan Karl Heinz Weigang berkuatkuasa hari ini.

Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengumumkan pertukaran itu selepas mencapai keputusan bersama Weigang untuk menamatkan kontrak sebagai pengendali skuad The Bos Gaurus bermula hari ini.

Presidennya Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, keputusan penamatan kontrak jurulatih dari Jerman itu dicapai selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan selain meneliti pelbagai aspek dan cadangan.

"PAFA sangat menghormati dan menghargai Weigang yang memberi perkhidmatan dan sumbangan luar biasa kepada pasukan serta dinobatkan sebagai jurulatih lagenda pasukan Perak.

"Mehmed Durakovic kini dilantik sebagai Ketua Jurulatih yang baru berkuatkuasa hari ini dan keputusan dibuat selepas PAFA meneliti beberapa calon jurulatih tempatan dan asing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jurulatih berasal dari Australia berusia 52 tahun itu dipilih berdasarkan rekodnya sebagai pemain dan jurulatih.

"PAFA berharap pelantikan Mehmed Durakovic dapat membentuk pasukan berkualiti dengan ilmu, pengalaman, sistem kejurulatihan dan taktikal tahap tertinggi bagi mencapai sasaran ditetapkan untuk Pasukan Bolasepak Liga Super Perak The Bos Gaurus musim 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 8:07 PM