KANAK-KANAK tadika ini diberi peluang menggunakan komputer.
KANAK-KANAK tadika ini diberi peluang menggunakan komputer.

Dengan perasaan kagum, gementar dan ingin tahu, tujuh kanak-kanak prasekolah di pusat pendidikan amal Pangsapuri Enggang berpeluang melihat keajaiban teknologi maklumat melalui komputer yang diperbaharui.

Walaupun baru pertama kali mendapat peluang itu, ia tidak menghalang mereka mengendalikan tetikus dan papan kekunci dalam menerokai pelbagai kawalan dengan komputer mereka.

Bagi kanak-kanak prasekolah yang kurang bernasib baik di Puchong, inisiatif e-Pembelajaran yang dianjurkan Program E.L.I.T.E F&N Dairies dengan kerjasama Pertubuhan Kemanusiaan Kassim Chin (KCHF) memberikan peluang mendapatkan asas pembelajaran.

Program itu ditubuhkan untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerusi pembelajaran. Sehingga kini, lebih daripada 300 kanak-kanak mendapat manfaat daripada program itu.

Pusat e-Pembelajaran E.L.I.T.E F&N dilengkapi empat komputer diperbaharui yang dimuatkan dengan perisian pendidikan yang mudah dan mesra pengguna.

"Ini membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Pangsapuri Enggang untuk mendapat akses kepada komputer dan sumber pendidikan.

"Kami menghargai sokongan F&N Dairies dalam menyediakan anak-anak muda untuk pembelajaran masa depan," kata Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kemanusiaan Kassim Chin, Miliee Kassim.

Ketua Bahagian Sumber Manusia F&N Dairies, Zenas Kok berkata, celik komputer adalah prasyarat untuk kemajuan pada abad ke-21.

"Kami percaya kanak-kanak mempunyai potensi untuk berjaya dan matlamat kami untuk memupuk kemajuan mereka," katanya.

Kemudahan baru komputer ini dilancarkan serentak dengan Majlis Graduasi F&N E.L.I.T.E 2014 yang meraikan tamatnya pengajian tujuh kanak-kanak prasekolah yang menghabiskan program tadika di yayasan itu.

Pada Majlis Graduasi itu, F&N Dairies memperbaharui ikrar tahunan kepada KCHF dengan menyumbang RM60,000 untuk membiayai pusat pendidikan Pangsapuri Enggang KCHF.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:01 AM