PESERTA kejohanan e-sukan tahun lalu. FOTO arkib NSTP
Hazril Md Nor
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Asia Pacific University (APU)dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) melancarkan akademi e-sukan di kampus barunya di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, hari ini.

Ia adalah kolaborasi pertama membabitkan ESM dengan universiti di negara dalam menubuhkan akademi seumpama itu.

Akademi e-sukan APU bertindak menjadi landasan bagi siswa membentuk dan menyalurkan minat untuk bersaing dalam industri e-sukan.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), Datuk Latt Shariman Abdullah berkata, penubuhan akademi ini diharap akan memacu industri ini bergerak lebih maju.

"Kita sudah tahu pemain profesional tempatan seperti Mushi, Chuan, AmTuah dan lain-lain pernah menempa nama di persada antarabangsa. Ini menunjukkan bakat tempatan mampu berdiri setanding pesaing luar.

"Bagaimanapun, tanpa garis panduan dan program yang sesuai, hanya sedikit saja yang mampu bersaing sehingga ke peringkat itu.

"Justeru, saya berharap akademi e-sukan APU mampu menyediakan program sesuai untuk menggilap bakat tempatan menjadi profesional dan bersedia untuk bertanding," katanya.

APU dan ESM akan bekerjasama memberi sokongan, latihan dan menyediakan garis panduan kepada siswa untuk menggilap bakat mereka menjadi pemain profesional, pengulas, pengurus pasukan dan lain-lain.

Program ini termasuklah kelas dan latihan yang mendedahkan siswa kepada industri e-sukan sebenar sekali gus membuka peluang kepada mereka menjadi lebih proaktif dan berdaya saing dalam industri e-sukan negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching merasmikan acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 3:27 PM