Setiausaha Dewan Muda DPMM Johor, Osmirizan Melan menyampaikan sumbangan kepada Norehan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Penderitaan Tuan Nur Hakimi Abdul Aziz, 5, yang mengalami masalah lebihan cecair di kepala mendapat perhatian ramai pihak yang mahu menghulurkan bantuan.

Ibunya, Norehan Mohd Noor, 24, berkata, pelbagai pihak menawarkan sumbangan termasuk susu khas dan lampin pakai buang.

Menurutnya, antara pihak yang tampil menawarkan bantuan ialah Yayasan Pasir Gudang, Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor dan beberapa individu budiman.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan pembaca Harian Metro yang mendoakan kesihatan anak dan memberi semangat kepada saya.

"Sumbangan dihulurkan mampu menampung keperluan anak saya selama tiga bulan," katanya di Taman Kota Masai, di sini, tadi.

Pada 16 Februari lalu, Harian Metro melaporkan kisah Norehan yang mengharapkan ihsan orang ramai bagi menyara anak tunggalnya.

Tuan Nur Hakimi yang terlantar sejak dilahirkan turut mengalami masalah tulang belakang.

Bagi tujuan membeli barangan keperluannya, Norehan perlu menyediakan wang kira-kira RM1,000 setiap bulan.

Norehan terpaksa menyara keluarga selepas suami menghilangkan diri sejak 29 September 2016 selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 10:12 PM