PEMAIN MCKK (jersi hitam) ketika menentang Scots College New Zealand pada Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s tahun lalu.
PEMAIN MCKK (jersi hitam) ketika menentang Scots College New Zealand pada Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s tahun lalu.

Kuala Lumpur: Tuan rumah Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mahu menjadikan kejohanan yang bermula hari ini untuk memburu kejuaraan kedua.

Kali pertama MCKK muncul juara pada 2013 dengan menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor 19-7 pada perlawanan akhir.

Jurulatih MCKK Fidzamil Basarudin berkata pasukannya kini berada pada tahap terbaik untuk mara ke final tahun ini.

Fidzamil berkata: “Kami sudah mula berlatih untuk kejohanan ini sejak dua minggu lalu termasuk latihan intensif bagi memantapkan pasukan.

“Sebagai tuan rumah, MCKK pastinya mendapat sokongan padu. Jadi saya harap kami lebih bersemangat ditambah pula semangat pemain sangat tinggi menantikan kejohanan ini,” katanya.

Jurulatih itu turut berharap anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik dan tidak mengulangi kegagalan kerap tewas di separuh akhir.

“Tahun lalu kami tewas kepada juara SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) di separuh akhir. Sudah beberapa kali kami tersungkur di separuh akhir kejohanan ini dan kali terakhir kita ke final serta menjadi juara adalah lima tahun lalu.

“Jadi tahun ini , kami akan lakukan sebaik mungkin untuk mara ke final dan muncul pemenang,” katanya penuh yakin.

Untuk saingan edisi ketujuh kali ini, MCKK diletakkan dalam Kumpulan C bersama pasukan baru dari Indonesia, SMA Durunnajah (SMAD), Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Kuantan (INTEK) dan Sekolah Menengah Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW).

Untuk rekod, SSTMI adalah pasukan paling banyak menjuarai kejohanan ini dengan tiga kali kejuaraan pada 2011, 2012 dan pada 2016.

MCKK, Scots College New Zealand dan Sekolah Sukan Hong Kong pula masing-masing pernah merangkul kejuaraan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:05 AM