X
HUSNIAH (kiri) ambil positif cabaran dihadirkan Komalam.
HUSNIAH (kiri) ambil positif cabaran dihadirkan Komalam.

Kuala Lumpur: Pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli mahu menggunakan peluang berada di Afrika Selatan dengan sebaik mungkin bagi memperbaiki prestasi semakin merudum.

Selepas pulang dari temasya Olimpik Rio, aksi Husniah dilihat terumbang-ambing apabila tewas kepada rakan sepelatih, S Komalam dalam acara 100 dan 200 meter ketika di Terbuka Malaysia hujung tahun lalu.

Namun bagi Husniah, ia menganggap cabaran Komalam itu perkembangan positif terutama dalam memantapkan kuartet 4x100m negara.

Justeru dia mahu membuktikan kehadirannya di Afrika Selatan selama dua bulan itu akan membuahkan hasil.

“Persaingan saya dengan Komalam persaingan yang bagus untuk kami. Perkara itu akan menguatkan kuartet 4x100m.

“Malah saya sukakan persaingan itu kerana secara tidak langsung mampu memperbaiki catatan terbaik peribadi apabila ada persaingan,” katanya yang juga dikenali dengan panggilan Adik.

Husniah merekodkan catatan terbaik peribadi 11.62s dalam acara 100m manakala 24.13s (200m) yang direkodkan ketika menyertai Sukan SEA lalu.

Jika dilihat daripada catatan itu, Husniah kini berada ranking kedua di belakang pelari Vietnam Le Tu Chinh manakala Komalam, kelima.

Dua tahun lalu, Husniah dikatakan mampu menamatkan kemarau emas acara pecut itu namun pengalaman memisahkannya apabila sekadar berkedudukan tempat keempat, tewas kepada atlet Filipina Kayla Anise Richardson (emas) dan Wannakit Thailand (perak) yang berkongsi catatan 11.76s manakala Veronica Shanti Pereira Singapura 11.88s (gangsa).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:08 AM