Amir Abd Hamid

Sepang: Polis menjalankan siasatan bagaimana bahan kimia VX yang disenaraikan senjata kimia lolos dan digunakan dalam pembunuhan Kim Jong-nam atau Kim-chol.

Ketua Polis, Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bahan itu adalah bahan yang diharamkan dan dilarang dibawa masuk ke Malaysia

Polis akan siasat jika ia dibawa masuk atau dibuat di sini, katanya.

Selain itu, siasatan turut dijalankan sekiranya masih terdapat kesan radioaktif di lokasi kejadian pembunuhan.

Katanya, PDRM akan bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Atom untuk memeriksa semua lokasi yang pernah dilalui suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Saya tidak cakap itu adalah perbuatan kerajaan Korea Utara (merujuk pembunuhan Jong-nam ketika ditanya wartawan).

"Biar kami jalankan siasatan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Beliau diserbu wakil media tempatan dan antarabangsa ketika memasuki Bilik Khas VIP KLIA di Aras 5 KLIA.

Ketika itu wakil media menunggu di hadapan pintu masuk bilik berkenaan untuk jadual sidang media Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali bersama Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali.

Terdahulu dalam kenyataan awal pagi tadi Khalid dipetik berkata, cecair yang digunakan dalam kes pembunuhan Jong-nam dikenal pasti sebagai ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau ‘VX Nerve Agent’.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 11:19 AM