X
MOHD Zawawi (tiga kiri) memeriksa lesen memandu dalam Ops Rentas Sempadan di Kilometer 3 Jalan Sitiawan-Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MOHD Zawawi (tiga kiri) memeriksa lesen memandu dalam Ops Rentas Sempadan di Kilometer 3 Jalan Sitiawan-Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan 2,215 saman terhadap pengguna kenderaan sempena Ops Tahun Baru Cina (OPS TBC) 2017 yang diadakan 21 Januari hingga 5 Februari lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, 4,193 kenderaan diperiksa sepanjang operasi terbabit dengan notis saman terbanyak membabitkan kesalahan kenderaan berat iaitu 1,799 saman dan diikuti notis arah periksa kenderaan sebanyak 154.

"Bagi arah timbang kenderaan dikeluarkan 91 notis, temusiasat mengikut seksyen 114 sebanyak 12 notis dan sita kenderaan Seksyen 64(1) sebanyak 28 notis.

"Kita juga menjalankan pemeriksaan ke atas 4,796 bas dan 30 daripada itu dikenakan tindakan dengan empat pemandu didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) di terminal bas," katanya pada sidang media Operasi Rentas Sempadan dan Laporan Keberkesanan Ops TBC di Kilometer (KM) 3 Jalan Sitiawan-Lumut, di sini, malam tadi.

Katanya, secara keseluruhan strategi penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya dalam tempoh OPS TBC 2017 menunjukkan kesan positif terutama dalam memastikan keselamatan penggunaan kenderaan perkhidmatan awam terutama bas ekspres terjamin.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, dalam operasi Rentas Sempadan yang dijalankan di KM 3 Jalan Sitiawan-Lumut dan Jalan Mempisang-Seri Manjung, 811 kenderaan diperiksa dan 115 dikenakan tindakan dengan 266 saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan.

Menurutnya, 21 notis pemeriksaan kenderaan turut dikeluarkan selain 15 notis larangan pengunaan dan dua notis permintaan butir pemandu.

Empat motosikal yang tiada cukai jalan dan tamat tempoh turut disita.

"Turut dijalankan pemeriksaan ujian saringan air kencing oleh AADK ke atas 23 individu dan lima daripada itu dipercayai positif dadah.

"Tiga warga asing turut ditahan kerana memandu tanpa lesen selaras dengan pelancaran operasi pemandu warga asing pada 16 Februari lalu yang bertujuan mengesan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang memandu kenderaan persendirian atau perdagangan," katanya.

Katanya, semua saman dikeluarkan di atas pelbagai jenis kesalahan antaranya cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal seperti cermin gelap dan sebagainya.

Operasi bersepadu yang bermula 8 malam hingga 12 tengah malam itu disertai 125 anggota membabitkan pasukan JPJ, AADK, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 11:27 AM
Digital NSTP Subscribe