Antara barang yang dirampas daripada pasangan kekasih itu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Polis menahan pasangan kekasih yang aktif melakukan jenayah pecah kereta terutama di kawasan masjid di hadapan sebuah kedai di Chabang Tiga, Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Wanita berusia 32 tahun yang dipercayai menjadi dalang jenayah itu ditahan bersama kekasihnya berusia 29 tahun jam 2.30 petang oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, pihaknya merampas 69 keping kad pelbagai jenis seperti kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad debit dan kad kredit, lima telefon bimbit, dua tablet jenama Samsung dan Wind, dua modem jenama Yes dan Huawei, sebuah komputer riba, pemutar skru dan spanar serta sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah.

Beliau berkata, suspek mengaku melakukan 13 kes pecah kereta masing-masing lapan di Kuala Terengganu, Marang (dua) dan Kota Bharu, Kelantan (tiga) dengan kejadian terbaru di sebuah masjid di Merchang, Marang pada Ahad lalu.

"Hasil siasatan dijalankan membawa kepada penahanan pasangan berkenaan dengan suspek wanita mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah kereta bersama pasangan lain sebelum ini.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya pada sidang media di IPD Marang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 3:34 PM