Mohd Fauzi Abdullah


Kuantan: Mahkamah Majistret, di sini, mengeluarkan perintah tahanan reman tujuh hari terhadap pegawai dan anggota tentera berpangkat Leftenan Kolonel serta Staf Sarjan bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

Perintah dikeluarkan Majistret Nurunaim Abdullah, sebentar tadi.

Kedua-dua anggota terbabit ditahan semalam ketika dipanggil untuk memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Temerloh dan Kuantan.

Pegawai berpangkat Leftenan Kolonel berusia 57 tahun yang bertugas di Unit Senggaraan Zon Timur, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) ditahan jam 2.30 petang semalam.

Dia dipercayai menerima suapan daripada kontraktor proksi, termasuk syarikat milik bapanya yang mana isterinya adalah pengarah syarikat berkenaan.

Berikutan tu, SPRM turut menahan seorang lagi anggota berpangkat Staf Sarjan berusia 44 tahun bertugas di BPKP Zon Pahang.

Lelaki itu ditahan jam 8.40 malam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Kuantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 3:55 PM