Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Polis menahan tiga ahli Geng Tebuk yang dipercayai terbabit dalam kes pecah pasar raya di daerah ini dengan kerugian RM500,000 selain beberapa lokasi lain.

Tiga suspek warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun itu ditahan polis Terengganu dan Bukit Aman dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam dan Klang, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, serbuan pertama berjaya menahan dua suspek di Kampung Jawa, Shah Alam jam 9.30 malam.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek di Bandar Botani, Klang, jam 10 malam hari sama.

"Polis merampas wang tunai RM11,000, alat pertukangan termasuk mesin pemotong besi dan dua tong gas Oxy-Acetylene serta sebuah Honda Accord.

"Tiga suspek mengaku memecah pasar raya di Wakaf Tapai pada 15 Januari lalu dan kita percaya mereka ada terbabit dengan beberapa kes lain di Terengganu dan negeri lain,” katanya.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan ada orang tempatan di sebalik kumpulan yang dianggotai lebih daripada lima orang itu.

"Suspek direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 4:53 PM
Wan Abd Aziz (tengah) dan Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali (dua, kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Tebuk pada sidang media di IPD Marang. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak