Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


Kuantan: Polis masih belum dapat mengenal pasti motif sebenar kes pembunuhan tragis seorang mak nyah di Jalan Pasar, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sehingga kini pihaknya masih lagi meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari sebuah premis berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan berhubung kejadian itu.

"Berkenaan dakwaan kes berpunca akibat kegiatan pengedaran dadah, buat masa ini pihak kami tidak dapat mengesahkan perkara itu namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Proses bedah siasat selesai dijalankan jam 6.30 petang semalam dan mayat diserahkan kepada ahli keluarga mangsa untuk urusan pengebumian di Karak, Bentong, hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa V Reenunair, 29, ketika dihubungi, di sini, memaklumkan mayat mangsa sudah dikebumikan di Karak, jam 2.30 petang hari ini.

Katanya, sepatutnya hari ini keluarganya mengadakan sambutan hari lahir mangsa yang ke-27 namun ia bertukar majlis pengebumian.

Mangsa, K Selamparasan ditemui dalam keadaan tertiarap berlumuran darah dengan kesan tiga das tembakan di kepala selain peha dan belakang ditetak di depan tangga sebuah premis di kawasan berkenaan, jam 5 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 7:10 PM