PATUNG yang menjadi simbol keadilan di hadapan mahkamah tertinggi di Bangladesh yang dibantah kumpulan Islam negara itu. - Agensi
AFP

Dhaka: Ratusan penyokong kumpulan Islam Bangladesh mengadakan perhimpunan semalam mendesak supaya patung dewi Yunani yang menghiasi Mahkamah Agung dimusnahkan atau dipindahkan dari situ.

Arca Themis, dewi keadilan dan ketenteraman yang ditutup matanya mencetuskan kemarahan di negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam sejak ia didirikan di premis mahkamah tertinggi Bangladesh.

Orang ramai diketuai kumpulan Hefazat-e-Islam membanjiri jalan raya di Dhaka selepas solat Jumaat, mendesak arca itu dibuang serta-merta.

Mereka melaungkan slogan dan membawa sepanduk tertulis kata-kata seperti ‘Hapuskan patung di premis mahkamah dan gantinya dengan al-Quran.’

Ratusan penunjuk perasaan turut mengadakan bantahan serupa di Chittagong, bandar kedua terbesar Bangladesh, kata polis tempatan.

Menurut mitos Yunani, Themis digambarkan dengan mata tertutup manakala tangannya memegang dacing keadilan.

Imejnya digunakan sehingga kini sebagai lambang keadilan, perundangan dan adat di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Sementara itu, jurucakap Hefazat, Azizul Haque Islamabadi memberitahu AFP, arca atau patung dilarang sama sekali dalam Islam dan menuduh golongan sekular Bangladesh melancarkan konspirasi.

Pihak mahkamah mempertahankan penggunaan patung itu sebagai simbol keadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:03 AM