PASANGAN suami isteri di Bandung ini meninjau keadaan banjir di sekeliling kediaman mereka.
PASANGAN suami isteri di Bandung ini meninjau keadaan banjir di sekeliling kediaman mereka.

Bandung: Seramai 12,400 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara berikutan banjir yang masih belum surut di daerah di Baleendah dan Dayeuhkolot di sini.

Ketua Pelaksana Badan Nasional Penanggulangan Bencana, Marlan berkata, sehubungan itu, pihaknya melanjutkan lagi perintah darurat di kedua-dua kawasan itu sehingga 5 Januari ini.

“Buat masa ini rekod menunjukkan masih ada 12,400 mangsa manakala yang lain sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya di Bandung.

Menurutnya, walaupun air banjir semakin surut, mangsa masih berdepan dengan masalah untuk meneruskan kehidupan seharian, khususnya berkait dengan kewangan dan kesihatan.

Menurutnya, ramai mangsa banjir masih belum mampu menjalani kehidupan normal dan ramai daripada mereka masih perlu membersihkan kediaman yang sebelum ini dinaiki air.

“Tumpuan kami ketika ini terhadap aktiviti pemulihan selepas banjir, khususnya dari segi kesihatan.

“Keadaan kebersihan yang belum normal mendedahkan mangsa kepada pelbagai penyakit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih berhubung dengan Badan Kaji Cuaca, Klimatologi dan Geofisik (BMKG) bagi memperoleh maklumat mengenai hujan di Bandung Raya yang dijangka semakin memuncak pada Januari dan Februari.

“Berdasarkan maklumat BMKG itu, kami akan terus mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:07 AM