Tuan Asri Tuan Hussein

Kali ini saya ingin menulis mengenai ikan. Bukan pasal ikan peliharaan, tapi pasal harga ikan yang kita makan hari-hari. Mungkin ia perkara remeh bagi sesetengah pihak terutama individu berstatus bangsawan.

Tapi tidak bagi saya golongan pertengahan, apatah lagi sahabat yang gaji tidak sampai RM3,000 sebulan. Bagi mereka ini bukan isu picisan. Ini soal perjuangan kehidupan dan amat memerlukan jalan penyelesaian.

Kini, harga ikan ‘biasa-biasa’ saja iaitu kembung atau temenung mencecah RM20 sekilogram hingga menjadi tular di media sosial.

Antara ungkapan disebarkan bersama gambar ikan itu ialah: “Ini ikan temenung. Dulu lepas makan duduk termenung, sekarang belum beli sudah termenung.”

Ramai membacanya dan tersenyum. Tapi, jika ditanya apa makna senyuman itu? Mungkin ramai yang sukar menjawabnya. Kita tersenyum lucu mungkin kerana hati tercuit dengan ‘kreativiti’ individu yang mencipta ungkapan itu.

Namun, pada masa sama senyuman kita itu juga tersimpan rasa pahit dan duka mengenangkan harga barangan kegunaan harian terutama makanan yang kenaikannya berlaku begitu pantas.

Dalam tempoh tidak sampai enam bulan, harga ikan boleh naik sehingga dua ke tiga kali ganda. Pada Oktober tahun lalu ketika menemani isteri membeli barangan basah di kedai runcit, harga ikan kembung RM8 hingga RM12 sekilogram.

Kini harganya melambung kepada tidak kurang RM16 dan sehingga RM20 sekilogram di kawasan tertentu terutama di utara tanah air. Tinjauan Harian Metro di Kedah minggu lalu, ada nelayan menjangkakan harga ikan kembung boleh mencecah RM25 sekilogram.

Ini baru cerita ikan kembung. Kalau ikan yang kategori ‘mewah’ sedikit seperti tenggiri, siakap, bawal dan pari, sudah pasti harganya jauh lebih mahal. Ikan tenggiri contohnya, harganya kini antara RM35 hingga RM40 sekilogram.

Sedih saya membaca komen seorang ketua keluarga, Sidun Paat, 50, apabila wartawan akhbar ini menemubualnya ketika membuat tinjauan harga barang keperluan harian di Pasar Besar Meru, Klang, Selangor, minggu lalu.

“Sekarang kami sekeluarga lebih banyak makan sayur dan telur sebab harga ikan dan ayam mahal sangat. Mujur anak-anak tidak banyak ragam.

“Hanya sekali-sekala bertukar selera untuk membeli ikan. Itu pun tidak selalu,” katanya yang tinggal di Puncak Alam.

Saya akui, pihak bertanggungjawab tidak berpeluk tubuh. Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya percaya peningkatan harga ikan berlaku berikutan tindakan pemborong menyimpan bekalan bagi mendapat keuntungan mudah.

“Kami syak ada pihak tidak bertanggungjawab menyorok ikan. Kami mahu nelayan serta pengguna melaporkan perkara ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya.

Ada juga pihak yang memberi alasan, kenaikan harga ikan berlaku kerana bekalan berkurangan disebabkan nelayan sukar ke laut berikutan ombak kuat dan keadaan diramalkan berlarutan sehingga April depan.

Benarkah begitu? Adakah ini bermakna selepas ini harga ikan akan kembali turun kepada sekitar RM10 sekilogram? Pada hemat saya, itu sukar berlaku. Kebiasaannya harga barang yang sudah naik amat sukar untuk turun.

Ini bermakna, orang ramai kini kena bersedia dan mengambil langkah perlu untuk hidup dengan barangan yang serba-serbi mahal. Ini pendirian saya kerana situasi semasa menunjukkan tiada barangan yang akan turun harga.

Tidak perlu saya cerita dengan panjang lebar apa barangan itu kerana yakin semua pihak sudah maklum. Minyak masak, petrol, diesel, kadar elektrik, gula dan semalam, saya menerima perkhabaran harga beras pula dijangka naik.

Sebagai manusia biasa, tidak salah untuk kita mengeluh. Boleh juga untuk kita menuding kesalahan kepada pihak itu dan pihak ini. Saya juga berbuat begitu, tapi saya akhinya terpaksa akur tindakan sedemikian tidak mengubah keadaan.

Harga barangan dan kos sara hidup tetap naik. Untuk mengimbanginya, apa yang wajar kita lakukan ialah berbelanja dengan lebih bijak serta berhemah dan pada masa sama berusaha meningkatkan pendapatan.

Ini satu tuntutan dan kita tiada pilihan. Sebab itulah saya nyatakan pada awal penulisan ini, harga ikan kembung yang menjadi tular, bukan perkara picisan. Di sebalik kelucuan, ia memberi pengajaran. Ini soal perjuangan kehidupan.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:38 AM