PEMAIN pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) melarikan bola daripada direbut pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri pada perlawanan Liga Super di Stadium Darulaman. FOTO AMRAN HAMID
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Cengkaman pasukan Kedah semakin kukuh di persada Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang, 3-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Kehadiran semula pemain tengah Liridon Krasniqi nyata memberi impak besar kepada barisan serangan Kedah yang bertali arus menyerang kubu lawan hasil beberapa lorongan cantiknya.

Malah, tuan rumah hampir mendahului lawan seawal minit kedua (m-2), namun disia-siakan pemain sayap Baddrol Bakhtiar apabila sepakan lemah kaki kirinya sekadar menerjah tepi gawang.

Biarpun beraksi dalam keadaan agak licin, skuad Helang Merah menguasai bola untuk tempoh 20 minit pertama.

Begitupun kesilapan pemain pertahanan Khairul Helmi Johari yang juga ketua pasukan dihukum Mohd Faiz Subri apabila pemenang Anugerah PUSKAS 2016 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu tenang menolak bola menewaskan penjaga gawang Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim untuk gol pertama.

Tersentak dengan gol itu, tuan rumah pantas membalas serangan yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Omar seminit kemudian.

Tuan rumah terus mengasak gol lawan menerusi beberapa percubaan bahaya menerusi rembatan kencang Liridon pada m-28 namun berjaya ditepis penjaga gol dan sepakan Baddrol pada m-30 yang sedikit keluar di sebelah kanan gawang Pulau Pinang.

Pada m-31 lorongan Liridon dilarikan oleh Ken Ilso dalam kotak penalti, namun rembatan kaki kanannya tidak menepati sasaran.

Babak kedua perlawanan, tuan rumah terus menggandakan asakan namun, Pulau Pinang berterima kasih atas kecekapan penjaga golnya Syed Adney Syed Hussein berjaya menggagalkan dua percubaan berbahaya Ken Ilso dan Baddrol masing-masing pada m-49 dan m-55 (sepakan percuma).

Usaha tuan rumah berhasil apabila gantian Muhammad Syafiq Ahmad menjaringkan gol kedua m-75

Liridon menceriakan peminat apabila menjaringkan gol kemenangan pada m-86 untuk Helang Merah kekal di takhta liga dengan 14 mata hasil empat kemenangan dan dua seri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 11:18 PM