AKTIVIS bertempur dengan polis ketika protes di Manila, semalam. - AFP
AKTIVIS bertempur dengan polis ketika protes di Manila, semalam. - AFP
AFP

Manila: Bekas pemimpin Filipina, Benigno Aquino menyertai ribuan orang membanjiri jalan raya Manila semalam membantah perang dadah Presiden Rodrigo Duterte sempena ulang tahun revolusi 1986 yang menggulingkan diktator Ferdinand Marcos.

Penunjuk perasaan berhimpun berhampiran ibu pejabat polis kebangsaan dengan ada yang menganggap perang dadah itu mampu berakhir dengan pemerintahan diktator seperti era Marcos berulang.

Pemimpin protes, Bonifacio Ilagan yang mengetuai lebih 1,000 penunjuk perasaan berkata: “Kami memandang serius keadaan ini dan memberi amaran kepada rakyat mengenai kebangkitan fahaman Fasis.”

Ilagan - penulis skrip yang diseksa sepanjang dua tahun dalam tahanan polis di bawah pemerintahan Marcos pada 1970-an - memberi amaran terhadap akibat daripada perang dadah dilancarkan Duterte.

Duterte, 71, memenangi pilihan raya presiden tahun lalu selepas kempennya menjanjikan penghapusan dadah di dalam masyarakat dengan membunuh puluhan ribu orang.

Dia seterusnya melancarkan ‘perang dadah’ itu sebaik dilantik pada Jun lalu. Polis dilaporkan membunuh 2,555 suspek dadah sejak itu dengan kira-kira 4,000 lain dibunuh dalam keadaan yang tidak boleh dijelaskan.

Duterte juga tidak menolak kemungkinan menggunakan undang-undang tentera untuk menghalang negara itu daripada terjebak lagi sebagai negara dadah.

Presiden itu menganggap Marcos sebagai antara pemimpin terbaik negara berkenaan dan tahun lalu membenarkan keluarganya mengebumikannya semula sebagai wira seterusnya mencetuskan bantahan besar-besaran di Filipina.

Semalam, Aquino yang berbaju hitam berjalan dengan 2,000 sekutu politik serta orang ramai.

Aquino menyelar tindakan kerajaan menahan Senator Leila de Lima - pengkritik utama perang dadah Duterte - pada Jumaat lalu atas tuduhan dadah.

Leila yang juga bekas menteri keadilan Aquino berkata, penangkapannya bagi membalas dendam atas usahanya membongkarkan Duterte sebagai ketua skuad maut sepanjang menjadi datuk bandar di Davao sebelum ini.

Aquino turut menolak dakwaan jurucakap Duterte bahawa mereka yang terbabit dengan kerajaan terdahulu berkomplot menjatuhkan pentadbiran terkini.

“Tuduhan itu tidak masuk akal, kerana kami sebenarnya menawarkan bantuan,” katanya.

Perbalahan hampir berlaku apabila penunjuk perasaan berdepan kumpulan orang muda membawa kain rentang pro-Duterte di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:05 AM