PEMAIN SSTMI, Muhammad Aliff Nazmie Mohd Nawawi (tengah) cuba melepasi  pemain SAS di MCKK, semalam.
PEMAIN SSTMI, Muhammad Aliff Nazmie Mohd Nawawi (tengah) cuba melepasi pemain SAS di MCKK, semalam.
myMetro

Kuala Kangsar: Juara bertahan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Ragbi Premier 7s 2017 selepas menduduki tangga teratas Kumpulan A di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam.

SSTMI yang juga juara tiga kali (2011, 2012 dan 2016) itu menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan ke atas Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) 24-0, SMK King George V (KGV) 44-0 dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) 29-0.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang SAS, aksi meyakinkan SSTMI membolehkan mereka memperoleh mata seawal minit kedua menerusi try Suhairi Efendi Othman.

Tidak lama kemudian, pemain SSTMI Nur Muhd Iqhram Afizal melebarkan jurang mata menerusi satu lagi try untuk membolehkan pasukannya mendahului 12-0 dan sebelum rehat, Amir Danial Ross Effendy menjadikan kedudukan 17-0.

Walaupun selesa mendahului lawan, SSTMI dilihat masih belum puas dan Muhammad Hafizie Sudin serta Muhammad Amir Ibrahim menjadikan kedudukan 29-0.

Jurulatih SSTMI Syed Shazril Syed Mahadzir nyata gembira dengan prestasi anak buahnya dan percaya impian mereka untuk mempertahankan kejuaraan semakin cerah.

“Pemain saya bermain baik di sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan tetapi pada babak kedua, lawan cuba bangkit mencari mata. Kami akan cuba memperbaiki kesilapan yang ada apabila kami bermain di suku akhir esok,” kata Shazril.

Beliau berkata, dalam usaha mengekalkan gelaran juara, mereka hanya akan memikirkan satu demi satu perlawanan.

“Saya percaya Sekolah Sukan Hong Kong (HKSS) masih belum beraksi di tahap sebenar dan mereka masih menyesuaikan diri dengan cuaca di sini. Saya yakin mereka akan mempamerkan kebolehan hari ini dan kami perlu pastikan bahawa kami tidak leka,” katanya yang juga jurulatih skuad ragbi Bawah 20 Tahun kebangsaan.

Tujuh pasukan lain yang turut ke suku akhir ialah MCKK, HKSS, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing (SMSM), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEV II), SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) dan Kolej Inggeris (EC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:07 AM