Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk memanjangkan lagi kontrak lanjutan sementara beberapa jurulatih hingga hujung Mac.

Menurut Pengurus Besar BAM Kenny Goh, alasan mereka berbuat demikian bagi memberi ruang kepada Pengarah Teknikal baru, Morten Frost Hansen memilih jurulatih yang bakal bekerja di bawahnya.

“Jurulatih yang kontraknya tamat hujung Disember 2014 bakal dilanjutkan lagi kontrak mereka hingga Mac,” katanya.

 Jelasnya, Frost akan mempunyai kuasa mutlak apabila memulakan tugas awal bulan Mac.

Sebelum ini BAM, sudah memaklumkan kontrak lanjutan sementara itu hingga Januari selepas Mesyuarat Majlis.

Awal bulan lalu, beberapa jurulatih termasuk Rashid Sidek sudah melalui proses penilaian ahli panel BAM.

Laporan itu akan disemak Ahli Majlis pada mesyuarat yang dijangka berlangsung bulan ini.

Selain Rashid, kontrak jurulatih lain yang berakhir hujung bulan ini termasuk Tey Seu Bock (perseorangan lelaki), Pang Cheh Chang (beregu lelaki) dan Rosman Razak (beregu wanita).

Ditanya mengenai perkembangan program terbaru BAM untuk musim 2015, Kenny berkata, tidak ada sebarang perubahan drastik yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 7:16 AM