Ab Rahman (tengah) menunjukkan sebahagian pil kuda dan eramin 5 yang dirampas di Kuala Krai dan Rantau Panjang. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua ahli sindiket Pok Heng dan Pok Nan yang aktif mengedar dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Jelawang-Kuala Balah, Kuala Krai dan Kampung Parit Air, Rantau Panjang, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, lelaki berusia lingkungan 50 tahun yang juga ahli sindiket Pok Heng ditahan di Kuala Krai pada jam 4.45 petang manakala seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan di Rantau Panjang, jam 1 pagi semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 1,781 biji pil kuda dan 1,200 biji erimin 5 yang berjumlah RM40,000 dan sebuah Proton Waja bernilai RM8,000.

"Dalam serbuan di Kuala Krai, kita dapati lelaki warga Thailand yang menaiki Proton Waja bergiat aktif menjual pil kuda kepada buruh sejak enam bulan lalu.

"Lelaki kedua yang ditahan di Rantau Panjang aktif mengedar pil kuda dan erimin 5 sejak lima bulan lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 11:42 AM