Skip this ad x
Wan Ahmad Najmuddin.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Dua lelaki masing-masing berusia 61 dan 64 tahun ditahan dalam serbuan berasingan pada malam serta awal pagi tadi, selepas disyaki menyebarkan kenyataan jelik dan fitnah berhubung kes kemalangan maut membabitkan remaja berbasikal yang berlaku di Johor Bahru, minggu lalu.

Difahamkan, dua yang ditahan itu bergelar Datuk yang mana seorang daripadanya adalah ahli politik dan seorang lagi penulis blog.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kenyataan jelik dan fitnah itu pada 1.02 petang semalam.

"Bagi tangkapan pertama, dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, berjaya menahan lelaki berusia 61 tahun kira-kira 11 malam tadi di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

"Manakala, kira-kira 2 pagi tadi, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 64 tahun di Villa Taman Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, hasil tangkapan dua lelaki itu, polis merampas dua telefon bimbit dan dua keping kad sim untuk tujuan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka difahamkan akan dibawa ke mahkamah di sini, petang ini untuk mendapatkan perintah tempoh tahanan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 3:06 PM