Konvoi kenderaan yang membawa Raja Salman meninggalkan Bangunan Parlimen. Raja Salman melawat negara ini hingga 1 Mac. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Noor Azeery Idris

Kuala Lumpur: Kunjungan rasmi kali pertama Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi akan membuka peluang baharu kepada komuniti perniagaan Malaysia, khususnya dalam bidang pelaburan berimpak tinggi dan sektor halal.

Presiden Dewan Perdagangan Arab-Malaysia Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata, kerajaan Arab Saudi juga dijangka mengumumkan beberapa kelonggaran bagi rakyat Malaysia yang ingin memulakan perniagaan di negara itu, khususnya di Makkah.

Beliau berkata, pelepasan permit kerja dijangka diumumkan ketika lawatan Raja Arab Saudi selain pengurangan pegangan saham perniagaan oleh penduduk tempatan.

"Lawatan Raja Arab Saudi adalah satu penghargaan kepada Malaysia kerana beliau bukan mudah membuat sesuatu lawatan dan selalunya beliau pergi ke negara-negara maju sahaja," tambahnya.

Menurutnya, berdasarkan beberapa program yang diatur, terutama sekali dalam bidang perniagaan dan perdagangan serta perusahaan untuk pemadanan perniagaan antara syarikat Saudi dan Malaysia, bidang yang paling diminati ialah pelaburan dan halal.

Mohamed Fauzy berkata demikian dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama News Channel sempena lawatan rasmi Raja Salman yang tiba di Malaysia pagi Ahad.

Kali terakhir Raja Arab Saudi melakukan lawatan ke Malaysia ialah pada 2006 iaitu oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Sebelum itu, Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan ke Malaysia pada 1970. Baginda diiringi delegasi 600 anggota dalam lawatan hingga 1 Mac itu, termasuk anggota kerabat diraja dan menteri Kabinet Arab Saudi.

Mohamed Fauzy berkata, pelaburan berimpak tinggi merupakan antara fokus utama Arab Saudi berikutan penerokaan pasaran baharu oleh negara itu berikutan kejatuhan harga minyak global.

Menurutnya, sektor halal tidak hanya meliputi bidang makanan dan pelaburan, tetapi juga perkhidmatan dan barangan.

Menyentuh mengenai bidang makanan dan minuman, beliau berkata, pemintaan yang tinggi daripada negara Timur Tengah, khususnya Arab Saudi dijangka memberi banyak peluang kepada komuniti perniagaan Malaysia, terutama menerusi Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi yang memberi tumpuan kepada pemadanan perniagaan.

Ia berikutan status pensijilan halal Malaysia yang mempunyai piawaian tinggi dan telah diiktiraf di kebanyakan negara Islam.

"Saya harap lawatan Raja Salman ini akan membuka era baru kepada rakyat Malaysia yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, terutama di Makkah, Madinah dan juga Jeddah."

"Pada masa ini saya berpendapat permintaan tinggi adalah untuk makanan kerana jemaah umrah dari Asia, khususnya dari Indonesia dan Malaysia menghadapi sedikit kesulitan mendapatkan makanan," katanya.

Pada 2016, Arab Saudi yang juga rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Timur Tengah. Jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak RM2.17 bilion kepada RM13.12 bilion pada 2016 berbanding tahun sebelumnya. Minyak sawit dan produk berasaskan sawit merupakan eksport tertinggi ke Arab Saudi, iaitu RM552.84 juta, meningkat 17.6 peratus berbanding 2015. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:19 PM