Penulis blog dan ahli politik bergelar Datuk direman tiga hari atas kesalahan mengeluarkan kenyataan jelik dan fitnah susulan kemalangan remaja berbasikal di laman sosial. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Mahkamah Khas Reman, di sini, memerintahkan dua lelaki yang ditahan kerana disyaki menyebarkan kenyataan jelik dan fitnah berhubung kes kemalangan maut membabitkan remaja berbasikal minggu lalu, direman tiga hari.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri bermula hari ini hingga Selasa.

Reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, dua suspek yang ditahan dalam serbuan berasingan itu adalah seorang ahli politik bergelar Datuk dan seorang lagi penulis blog.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 65 tahun yang ditahan di Ipoh, Perak, malam tadi direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kenyataan jelik dan menghasut orang ramai bagi menyertai perhimpunan basikal yang dijadual diadakan pagi semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan di mahkamah sama bermula hari ini hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 6:26 PM