JIHAN pada majlis pelancaran Jihan Show.
Sudirman Mohd Tahir


Pengacara dan pelawak Jihan Muse yang bakal muncul dalam program bual bicara berjudul Jihan Show pada 2 Mac ini mengakui ia tanggungjawab berat untuknya.

Menurut Jihan atau nama sebenarnya Nur Jihan Musa, 34, mengendalikan program sendiri adalah cabaran terbesar sepanjang bergelar pengacara.

“Sejujurnya saya berdebar dan takut menunggu reaksi penonton. Saya hanya boleh berkata ia pencapaian terbaik dalam kerjaya apabila program 13 episod ini habis bersiaran. Maklum balas dan penerimaan penonton kelak adalah jawapan sama ada program ini berjaya atau sebaliknya.

“Bukan sesuatu yang mudah sebenarnya apabila membawa nama sendiri. Ia tanggungjawab yang berat malah saya bimbang apabila penonton meletakkan jangkaan tinggi terhadap program ini. Oleh itu, setiap kali menjalani rakaman saya perlu kekalkan momentum,” katanya.

Jihan yang juga pengacara Gegar Vaganza (GV) menyifatkan program itu sebagai eksperimen untuknya.

“Selama ini saya teringin ada program sendiri. Malah saya berangan-angan menjadi seperti Oprah Winfrey dan Ellen. Namun melihatkan kemampuan dan kedudukan diri, saya berasakan belum layak. Saya belum berada di tahap seperti Pak Nil (Datuk Aznil) untuk ada program sendiri.

“Namun, apabila diberi ruang saya cuba untuk memanfaatkan peluang ini. Pada mulanya saya tak nak menggunakan nama sendiri sebagai judul program. Macam saya katakan tadi, ia terlalu berat untuk saya. Tapi produksi tetap memilih nama itu,” katanya.

Selain Jihan, program yang bersiaran di saluran Astro Warna dan Mustika HD itu turut menampilkan tiga rakan pengacara lain iaitu Amy Mastura, Zara Zya dan Syuk Joras.

Jihan berkata, kehadiran tiga rakannya itu sedikit sebanyak dapat menyokong program ini terutama ketika sesi bersama tetamu jemputan.

“Memang betul saya pengacara utama program ini, tapi kehadiran tiga pengacara lain sangat membantu. Saya memerlukan warna dan variasi dalam program ini.

“Tidak ada istilah saya ‘makan’ mereka atau sebaliknya kerana kami saling memberi. Paling penting saya nak berkongsi rezeki dengan kawan,” katanya.

Program yang membincangkan topik menarik berkaitan wanita itu menampilkan artis jemputan lelaki seperti Fahrin Ahmad, Datuk Rosyam Nor, Hairul Azreen, Amar Baharin, Tomok, Kamal Adli, Mark Adam dan Aiman Tino.

Tak sara suami

Berkongsi mengenai kehidupan peribadinya, Jihan yang bakal menyambut ulang tahun pertama perkahwinan dengan pelakon Ungku Hariz Faizal pada Mac ini mengakui masih berusaha mendapatkan anak.

“Kehidupan saya masih sama seperti dahulu. Tak ada apa yang pelik dan berubah. Cuma belum dikurniakan anak. Saya dan suami tak pernah merancang dan berserah kepada rezeki Allah.

“Orang sekeliling tak pernah tanya soal anak, begitu juga keluarga. Apa saya boleh lakukan dengan suami adalah berusaha dan berdoa. Tak ada istilah berasa tertekan,” katanya.

Pada masa sama, Jihan menafikan dia menyara kehidupan suaminya seperti yang hangat diperkatakan sebelum ini.

“Suami masih mampu menyara saya. Bila masa pula saya menyara dan menanggung hidupnya? Kami ada kerjaya masing-masing. Malah suami tahu tanggungjawab yang perlu dilakukan. Sehingga sekarang tak ada lagi masalah untuk dia beri nafkah.

“Soal rezeki siapa lebih itu kerja Tuhan. Jangan kerana kerap muncul di kaca TV orang beranggapan saya yang menyara suami,” katanya.

Jihan berkata, perkara itu sedikit pun tidak membuatkan suaminya terasa hati.

Malah Ungku Hariz atau lebih dikenali sebagai Ku Hariz mengambil pendekatan tidak ambil pusing.

“Saya jenis yang biasa-biasa saja dan tidak mementingkan kemewahan dalam soal penampilan. Saya bergaya mengikut keselesaan dan kemampuan. Pendek kata tak susah nak menyara saya.

“Kalau nak tahu ada juga barang berjenama yang suami hadiahkan tapi saya malas nak menunjuk di laman sosial. Sebabnya saya bukan jenis begitu. Bagi saya itu hak masing-masing. Saya tak boleh samakan dengan orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:00 AM